SULTAN Ibrahim (berbaju merah jambu) berkenan melawat lima lot gerai yang musnah terbakar di Felda Ulu Tebrau. FOTO Ihsan RPO
SULTAN Ibrahim (berbaju merah jambu) berkenan melawat lima lot gerai yang musnah terbakar di Felda Ulu Tebrau. FOTO Ihsan RPO
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan membiayai pembinaan semula lima lot gerai yang musnah terbakar di Felda Ulu Tebrau di sini, Jumaat lalu.

Sultan Ibrahim hari ini berkenan melawat kawasan kejadian itu sekali gus membawa sinaran baharu kepada peniaga berkenaan.

Baginda meluangkan hampir 30 minit bertemu mangsa-mangsa kebakaran, bertitah bahawa kos pembinaan semula gerai yang terjejas akan dibiayai Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Sultan Ibrahim turut menitahkan wakil baginda, Mejar Cina Datuk David Wong untuk melawat lokasi kejadian serta menilai beberapa perkara bagi memulakan pembinaan semula lot gerai berkenaan dengan segera.

"Gerai ini adalah tempat mereka mencari rezeki demi keluarga masing-masing. Saya akan biayai sepenuhnya kos pembinaan semula gerai.

"Saya sendiri akan buat reka bentuk gerai di mana, amat selesa jika dilengkapi dengan tandas dan dapur serta pendawaian elektrik yang selamat," titah baginda dalam kenyataan dimuat naik di akaun Facebook rasmi, hari ini.

Dalam kejadian kebakaran Jumaat lalu itu, ia memusnahkan tiga kedai makan, dan masing-masing sebuah kedai menjual peralatan tulis serta kedai basikal.

Titah Sultan Ibrahim yang berkenaan membiayai pembinaan semula lot gerai itu disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh peniaga-peniaga yang terjejas serta penduduk setempat.

Peniaga terjejas yang mengusahakan makanan char kuey teow, Mohd Razif Amat berkata, dia mula berniaga sejak 2014 dan ketika kejadian dia berada di rumahnya.

"Gerai ini saya sewa bersama Pertubuhan Peneroka Rancangan (PPR), namun amat sedih apabila ia musnah dalam kebakaran Jumaat lalu.

"Saya langsung tidak sangka keberangkatan Sultan Johor pada hari ini akan membawa satu khabar baik serta rezeki buat kami semua yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 3:57 PM