SULTAN Ibrahim Iskandar menyampaikan titah ucapan baginda ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 hari ini. FOTO Ihsan MEDKOM
SULTAN Ibrahim Iskandar menyampaikan titah ucapan baginda ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 hari ini. FOTO Ihsan MEDKOM
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kekerapan kerajaan menukar dasar bukan sahaja menyebabkan pelabur hilang keyakinan malah menyebabkan mereka lari ke negara lain, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan juga perlu membuat dasar baharu yang mesra pelabur dengan insentif lebih menarik bagi memastikan pelabur terus kekal di negara ini.

Baginda bertitah, kerajaan juga perlu bekerja keras membantu peniaga dan menarik pelabur luar supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi membangunkan semula ekonomi selepas wabak Covid-19 dapat dikawal.

"Namun, jika kerajaan sering menukar dasar mungkin kerana dengki dengan kemajuan Johor maka pelabur akan hilang keyakinan dan pergi ke negara lain.

"Saya juga harapkan supaya kerajaan Pusat memberikan perhatian dan membantu pembangunan Johor dengan lebih banyak lagi terutama dalam bidang kesihatan dan infrastruktur jalan raya," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir dan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Dalam titah sama, Sultan Johor turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang cekal berkhidmat dalam menangani wabak Covid-19.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Pusat yang memberikan lebih banyak bekalan vaksin kepada negeri Johor. Penghargaan juga saya ucapkan kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan sama ada makanan, kewangan dan sebagainya bagi membantu rakyat yang terjejas.

"Marilah kita berdoa ke hadrat Allah semoga wabak ini segera hilang agar seluruh rakyat dapat menikmati kehidupan yang sempurna, sentosa dan bahagia," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 1:45 PM