RAMLI (tengah) pada sidang media berhubung kenaikan gaji minimum di pejabatnya, hari ini. FOTO YUSMIZAL DOLAH ALING
RAMLI (tengah) pada sidang media berhubung kenaikan gaji minimum di pejabatnya, hari ini. FOTO YUSMIZAL DOLAH ALING
Yusmizal Dolah Aling


Petaling Jaya: "Peluang untuk kongsi gelap menguasai kawalan keselamatan dalam negara."

Itu kebimbangan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) ketika industri itu dilihat belum bersedia dengan pengumuman kerajaan mengenai kenaikan gaji minimum RM1,500 bermula Mei ini.

Lebih parah, ia berisiko menyebabkan industri berkenaan berdepan kemungkinan gulung tikar kerana bebanan kos tinggi.

Presidennya Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, bukan saja belum bersedia menaikkan harga kawalan keselamatan, implikasi kos besar menjadi faktor mengapa ia perlu dipertimbangkan semula.

Beliau berkata, dengan kadar baharu itu, ia bermakna seorang pengawal keselamatan dibayar sehingga RM12 sejam berbanding RM8 ketika ini.

"Kita bimbang ini akan menjejaskan operasi industri. Ia membuka ruang kepada kongsi gelap untuk menawarkan khidmat kawalan keselamatan pada harga rendah tanpa memikirkan kebajikan dan perlindungan kepada pekerja.

"Berikutan kelewatan bayaran oleh agensi kerajaan ketika ini, kita tidak tahu bagaimana jika harga baharu diperkenalkan nanti.

"Pelanggan korporat dan swasta tidak bersedia dengan kadar perkhidmatan lebih tinggi," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai majikan yang mematuhi Akta Kerja 1955, syarikat keselamatan wajib membayar imbuhan kerja lebih masa dan ia berbeza mengikut kadar ditetapkan undang-undang pada hari biasa, cuti rehat dan cuti umum.

Menurutnya, caruman statutory seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan lain-lain menjadi sebahagian daripada tanggungjawab majikan.

"Itu baru pengawal keselamatan. KIta ada kumpulan sokongan dan mereka perlu diberi kenaikan jika berlaku pelarasan di peringkat pengawal keselamatan.

"Kami menghantar surat kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, baru-baru ini untuk membincangkan mengenai isu ini, namun tidak ada maklum balas," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga perlu memikirkan rasional kenaikan gaji pengawal keselamatan sehingga RM3,300, sedangkan pekerjaan di sektor lain menerima kurang daripada itu.

Menurutnya, dengan kenaikan sehingga RM12 sejam bagi setiap pengawal keselamatan, syarikat hanya mendapat keuntungan pada kadar 10 peratus berbanding tiga hingga lima peratus ketika ini.

"Kita perlu realistik tanpa merendah-rendahkan sesiapa. Gaji di tempat lain pun kalau kita lihat masih rendah.

"Bukan kita tidak setuju, tapi bukan masanya," katanya.

Ketika ini terdapat 150,000 pengawal keselamatan di bawah PIKM di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 1:46 PM