PONDOK pengawal keselamatan di taman perumahan Mutiara Rini. FOTO ihsan polis
PONDOK pengawal keselamatan di taman perumahan Mutiara Rini. FOTO ihsan polis
Nurul Amanina Suhaini


Iskandar Puteri: Seorang pengurus ditahan kerana disyaki menggajikan empat warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah menerusi pemeriksaan di pondok pengawal keselamatan kawasan taman perumahan Mutiara Rini, Skudai, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pemeriksaan pertama dijalankan jam 11.30 pagi itu mendapati dua pengawal keselamatan warga Pakistan berusia 29 dan 34 tahun gagal menunjukkan permit kerja yang sah.

"Seorang lelaki yang juga pengurus berusia 32 tahun ditahan ketika berada di lokasi sama kerana melanggar syarat lesen agensi persendirian dan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati pengurus pengawal keselamatan positif methamphetamine, selain mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.

"Susulan itu, polis membuat tangkapan kedua kira-kira jam 11.30 malam, hari sama, ke atas dua lagi pengawal keselamatan warga Pakistan dan India masing-masing berusia 23 serta 28 tahun bagi kesalahan sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, empat baju pengawal keselamatan berwarna putih yang dipakai tertera logo dan tulisan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) turut dirampas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen atau Seksyen 55B Akta Imigresen atau 14 Akta Agensi Persendirian 1971 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen atau 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru bagi proses penahanan reman.

"Sesiapa yang hendak melantik pengawal keselamatan diminta supaya memilih syarikat kawalan keselamatan yang menepati syarat, merujuk kepada Pekeliling Agensi Persendirian Bilangan (4) Tahun 2010 iaitu majikan perlu mematuhi syarat pengambilan mengikut Akta Agensi Persendirian 1971," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 11:00 AM