GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) serius dalam menangani pengawal keselamatan haram yang masih berlaku.

Sehubungan itu, Presiden PIKM Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengesyorkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya syarikat di bawah naungannya yang terbabit dikenakan tindakan gantung atau batal lesen.

Beliau berkata, pihaknya sudah menubuhkan pasukan petugas khas di seluruh negara untuk membantu agensi penguatkuasa bagi tujuan berkenaan.

"Sebenarnya memang kita tidak benarkan mana-mana syarikat pembekal menggunakan warga asing selain Nepal sebagai pengawal keselamatan sebab jelas salah dalam perlembagaan kita dan undang-undang kerajaan.

"Kita panggil pengarah syarikat untuk beri tunjuk sebab. Jika gagal berbuat demikian atau tidak mempunyai alasan kukuh kita akan sarankan lesen mereka digantung atau dibatalkan sebab ini kesalahan serius.

"Setiap pengawal keselamatan yang hendak diambil bekerja mesti melalui saringan jenayah, dalam masa sama mestilah rakyat Malaysia," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas laporan media baru-baru ini, berhubung lapan lelaki warganegara Filipina yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam Operasi Terancang di Stadium Merdeka di sini, 20 April lalu.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kuala Lumpur Eris Jemadi Tajudin dilaporkan berkata, operasi itu dijalankan bermula 6 petang hingga 8 malam hasil daripada risikan yang dilakukan oleh Unit Operasi dan Risikan JPN Kuala Lumpur sejak minggu lalu.

Mengulas lanjut, Ramli berkata PIKM mengakui syarikat yang berkenaan adalah di bawah naungan persatuan itu dan tindakan lanjut sedang dilakukan.

"PIKM mengambil tindakan ke atas syarikat (membekalkan pengawal keselamatan haram) yang berkenaan. Syarikat itu menggunakan pengawal keselamatan haram sebab bayar gaji murah dan tidak mahu membayar mengikut gaji minimum ditetapkan kerajaan iaitu RM1,200.

"Selain itu pengawal keselamatan berkenaan tidak dilindungi dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Skim Insuran Pekerja (SIP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta syarikat tidak bayar cukai lain kerajaan

"PIKM ketika ini memang membanteras habis-habisan isu pengawal keselamatan haram. Mereka inilah yang menyusahkan kita. Malah kita juga serius dengan mengambil tindakan sama terhadap syarikat serta pelanggan yang menggajikan pengawal keselamatan haram," katanya.

Beliau menegaskan, pengawal keselamatan warga asing cuma dari negara Nepal sahaja yang dibenarkan oleh kerajaan setakat ini.

"Negara lain tidak dibenarkan sama sekali bekerja sebagai pengawal keselamatan tak kiralah sama ada Bangladesh, Indonesia, Bangladesh atau Filipina, memang tak boleh.

"Saya sudah tegaskan perkara ini kepada 900 ahli PIKM di seluruh negara. Buat masa ini 260,000 pengawal keselamatan bekerja di Malaysia termasuk dari Nepal dianggarkan 30,000.

"Cuma pengawal keselamatan warganegara Nepal pada waktu Covid-19 ramai sudah pulang ke negara asal. Kita tidak dapat pengganti sebab kawalan sempadan negara, jadi banyak kekosongan jawatan," katanya.

Beliau berharap warga tempatan yang berminat boleh memohon kerja sebagai pengawal keselamatan yang ketika ini sudah dijenamakan semula sebagai pegawai keselamatan.

Menurutnya, gaji asas pegawai keselamatan sebanyak RM1,200 dan sekiranya bekerja sebulan atau 26 hari, boleh memperoleh pendapatan antara RM2,400 hingga RM2,500 sebulan.

"Graduan baharu masuk kerja pun RM2,700 gaji asas. Cuma kami mengharapkan pekerja tempatan supaya setia dengan kerja.

"Ramai pekerja tempatan kerja sebulan dah lari, jadi menyusahkan kita. Sebab itu pelanggan kita mahukan warganegara Nepal, mereka hanya cari makan dan hantar duit ke kampungnya, itu sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 4:13 PM