GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan keselamatan dan pengawal peribadi (bodyguarding) daripada syarikat yang berlesen oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) Mohammad Ubaidillah Enam@Iman berkata, syarikat itu juga perlu mempunyai perlindungan insurans bagi memastikan kebajikan pekerja terjaga sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

"PIKM menegaskan Akta Agensi Persendirian 1971 yang berusia 53 tahun perlu dipinda segera oleh pihak berkuasa bagi memastikan wujudnya garis panduan yang teratur agar semua pemain industri khususnya pekerja keselamatan terus terlindung di bawah akta ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April lalu, PIKM menyarankan agar penambahbaikan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa diambil tindakan segera terhadap rejim latihan dan perakuan di samping memperbaiki keselamatan lapangan terbang itu.

Mohammad Ubaidillah berkata kerjasama strategik antara KDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PIKM telah diwujudkan pada 2016, dengan semua pengawal peribadi syarikat keselamatan wajib dilatih dan diperakui oleh PDRM.

Menurutnya, yang lebih penting ialah individu yang dilantik sebagai pengawal keselamatan termasuk pengawal peribadi perlu melepasi tapisan keselamatan oleh KDN dan PDRM untuk memastikan mereka bebas daripada sebarang rekod jenayah lampau.

Selain itu, beliau berkata latihan dan perakuan Certified Bodyguard (CBG) diambil sebagai syarat pembaharuan permit membawa dan menggunakan senjata api [Carry & Use (C&U)] bagi pengawal peribadi yang bersenjata.

"Arahan ini telah dimulakan pada 2018 dan setakat ini, hanya 84 pengawal peribadi yang telah menjalani latihan dan diperakui oleh PDRM, bagaimanapun terdapat beberapa kekangan menyebabkan inisiatif dan arahan ini tidak berjalan secara lancar," katanya.

Mohammad Ubaidillah berkata, terdapat pengusaha yang menggiatkan perniagaan pengawal peribadi tanpa lesen oleh KDN khususnya pelanggan dalam kalangan VVIP atau orang kenamaan serta selebriti, dan perkara ini harus dipantau serta diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa.

"Kekeliruan ini berlaku kerana tidak semua segmen perkhidmatan keselamatan tertakluk di bawah Akta Agensi Persendirian 1971 seperti installer & integrator system keselamatan dan bodyguarding.

"Adalah jelas, insiden yang berlaku membabitkan seorang 'pengawal peribadi' yang tidak diperakui mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan, begitu juga dengan syarikat yang terbabit. Insiden serius ini membabitkan risiko nyawa pelanggan (prinsipal), orang awam dan juga pengawal peribadi," katanya.

Beliau berkata dari sudut kebajikan, pengawal peribadi yang dilantik oleh syarikat keselamatan berlesen wajib menyediakan insurans, mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan caruman statutori lain terutama bagi perlindungan kemalangan semasa bertugas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 3:47 PM