ANTARA barang rampasan dalam siri serbuan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) pada 7 hingga 13 Julai lalu.
ANTARA barang rampasan dalam siri serbuan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) pada 7 hingga 13 Julai lalu.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LABI-LABI, kuku beruang, taring harimau, musang pulut dan daging hidupan liar antara dirampas dalam siri serbuan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) pada 7 hingga 13 Julai lalu.

Operasi dijalankan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu berjaya menahan tujuh individu dalam tangkapan berasingan di Kluang, Johor; Jerantut, Pahang; Gua Musang, Kelantan dan Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Seorang individu yang ditahan didapati aktif memburu gajah, harimau dan beberapa hidupan liar yang terancam.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pada 7 Julai lalu pihaknya menahan seorang warga tempatan di Kluang, Johor dan merampas 7.5 kilogram (kg) daging labi-labi, empat cengkerang labi-labi dan 4.4 kg daging babi hutan.

"Selain itu pada 10 Julai, tiga lelaki warga tempatan ditahan di Jerantut, Pahang dan merampas satu kotak berisi rangka hidupan liar, dua senapang patah, empat jerat dan pelbagai peralatan memburu.

"Pada 11 Julai lalu, Perhilitan turut menahan dua warga Kemboja di Gua Musang, Kelantan dan merampas 15 kuku beruang, tiga taring harimau, satu bahagian badan harimau, tiga hempedu hidupan liar, satu bahagian tangan Beruang Matahari, satu bahagian daging dan tulang hidupan liar, satu bekas daging hidupan liar, 13 bulu burung liar, lima bahagian sisik tenggiling, dua jerat dawai dan satu bungkusan kayu gaharu serta peralatan mencari gaharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Kadir berkata, pihaknya juga menahan seorang warga Vietnam di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 11 Julai dan merampas lima ekor Musang Pulut sudah dibakar.

"Pada 13 Julai serbuan sekali lagi merampas tujuh kuku Beruang Matahari, 97 taring babi hutan dan 69 unit hempedu biawak," katanya.

Beliau berkata, sejak pelaksanaan OBK siri 1 hingga siri 11 sebanyak 38 kes tangkapan dibuat membabitkan 50 warga tempatan dan 22 orang warganegara asing iaitu enam warga Indonesia, tujuh warga Kemboja, lima warga Vietnam dan empat warga Sudan.

"Saya memberi amaran kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar dan aktiviti pencerobohan supaya menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.

"Semua individu yang ditahan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 3:19 PM