Samadi Ahmad


SERAMAI 64 pemburu haram dicekup pihak berkuasa sejak 3 September hingga pertengahan bulan ini membabitkan pembekuan akaun serta penyitaan harta bernilai RM1.58 juta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, mereka ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) terdiri daripada warga tempatan dan rakyat asing.

“Pesalah ditahan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah warga asing dari China, Kemboja, Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Thailand.

“Sebanyak 13 akaun dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Turut dimusnahkan sebanyak 359 unit jerat dalam 21 kes,” katanya pada sidang media OBK di Paya Indah Wetlands di Sepang, hari ini.

MAZLAN ketika sidang media mengenai OBK yang mencapai kejayaan besar. FOTO Luqman Hakim Zubir
MAZLAN ketika sidang media mengenai OBK yang mencapai kejayaan besar. FOTO Luqman Hakim Zubir

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

OBK yang dilancarkan pada 3 September lalu membabitkan kerjasama Perhilitan, polis, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Perbadanan Tan Negara Endau Rompin, Johor, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Mazlan berkata, tangkapan terkini mengikut OBK ialah empat suspek pemburu haram rakyat tempatan pada 13 November lalu di Pasir Mas, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis dan Perhilitan ke atas empat premis di Kelantan dan Kedah berjaya merampas lima kenderaan mewah Mercedes Benz, Volkswagen dan Honda.

“Beberapa bahagian hidupan liar seperti gading gajah, tanduk rusa dan kulit dirampas dengan nilai anggaran RM240,000.

“Siasatan memburu dalang sindiket itu diteruskan mengikut Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001 di samping siasatan serentak Perhilitan mengikut Seksyen 60 & Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2001,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, polis sedang menyiasat dan memanggil pihak bertanggungjawab membawa abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke Perak.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya tidak mahu mendedahkan perkara itu kerana ia masih dalam siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 7:03 PM