Azman Adam (kiri) membuat pemantauan Skim harga maksimum keluarga Malaysia di Pasar Taman Sri Gombak.FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.
Azman Adam (kiri) membuat pemantauan Skim harga maksimum keluarga Malaysia di Pasar Taman Sri Gombak.FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Sebanyak 12 barang yang disenarai dalam Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) adalah barang yang berpotensi berlaku kenaikan harga.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, disebabkan itu semua harga barangan berkenaan disenaraikan dan dikawal menerusi SHMKM.

"Antara barangan yang tersenarai di dalam SHMKM ialah tiga jenis ayam, tiga jenis telur ayam, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kobis bulat import dan timun.

"Senarai barangan akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran.

"Semua pihak di seluruh rantaian bekalan dari kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan untuk mematuhi skim yang dilaksanakan ini," katanya ketika ditemui selepas memantau hari pertama SHMKM di Pasar Sri Gombak, hari ini.

SHMKM akan berkuat kuasa bermula hari ini sehingga 31 Disember depan bagi mengawal dan menstabilkan harga barangan keperluan yang disenaraikan.

Azman berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga dan 2,000 pegawai penguat kuasa di seluruh negara.

"Setakat ini kita menerima kira-kira 23,000 aduan berhubung kenaikan harga barang, aduan yang kedua tertinggi selepas penipuan transaksi dalam talian.

"Tindakan akan diambil berdasarkan aduan yang dikemukakan secara terus kepada KPDNHEP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 1:33 PM