Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berunding dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membincangkan penambahan permit import (AP) ayam bagi mengawal harga ayam di pasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu dilihat mampu menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam terutama ketika musim perayaan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama MAFI mengenai cadangan itu dalam masa terdekat.

"Apabila AP masuk, akan berlaku lambakan ayam dan kita akan kembali kepada formula permintaan dan penawaran.

Rosol Wahid (tengah) meninjau harga sayur  ketika tinjauan di Pasar Chabang Tiga hari ini.  FOTO GHAZALI KORI
Rosol Wahid (tengah) meninjau harga sayur ketika tinjauan di Pasar Chabang Tiga hari ini. FOTO GHAZALI KORI

"Apabila bekalan ayam banyak, permintaan akan kurang seterusnya harga akan menjadi murah.

"Kita memandang serius isu kenaikan harga ini dan akan mencari alternatif bagi mengatasinya supaya pengguna tidak teraniaya," katanya ketika melakukan tinjauan harga dan bekalan barangan keperluan pengguna di Pasar Chabang Tiga, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rosol berkata, sebanyak 42 notis dikeluarkan kepada pemborong, penternak dan pengeluar sehingga semalam.

Katanya, semua notis itu dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu 25 notis kepada pemborong manakala 17 kepada penternak dan pengeluar ayam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 4:48 PM