BARANGAN curi yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
BARANGAN curi yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
Erika George


Bintulu: Seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod jenayah dicekup polis di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Sebiew di sini, semalam, selepas didapati terbabit dalam kes pecah masuk kedai makan.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 26 tahun itu terbabit dalam kes pecah masuk kedai makan di Jalan Abang Galau di sini, kelmarin.

"Hasil dari tunjuk arah suspek, polis menemukan semula barangan curi iaitu dua jam tangan, satu unit kamera litar tertutup (CCTV), satu beg silang dan pakaian yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu.

"Kesemua barangan curi terbabit bernilai RM6,590. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya dalam sidang media, semalam.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod kes jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan, judi, pecah rumah dan berkaitan dadah.

Selain itu, katanya, suspek juga mempunyai tiga rekod kes jenayah yang dilaporkan di Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 12:11 AM