ANGGOTA polis menahan suspek dan merampas barangan curi sebagai bahan bukti di kediamannya di Jalan Sebiew, Bintulu. FOTO Erika George
ANGGOTA polis menahan suspek dan merampas barangan curi sebagai bahan bukti di kediamannya di Jalan Sebiew, Bintulu. FOTO Erika George
Erika George


TINDAKAN lelaki memecah masuk rumah jirannya di Jalan Sebiew, Bintulu, mengundang padah selepas dia dicekup polis petang kelmarin.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumahnya 6.30 petang, malah lokasi berkenaan turut dijadikan stor pelbagai barangan curi.

Hasil pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan semula pelbagai barangan curi seperti alat pertukangan, set pembesar suara, penapis air, televisyen dan basikal.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, dalam soal siasat dijalankan, suspek mengaku memecah masuk dua rumah jirannya, masing-masing pada 23 dan 27 Februari lalu.

“Semakan lanjut mendapati suspek turut memiliki satu rekod jenayah lampau dan sedang disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan pada 2015 atas kesalahan menceroboh,” katanya, hari ini.

Katanya, suspek direman sehingga 5 Mac bagi membantu siasatan dan kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Bintulu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 12:09 PM