Antara barang bukti yang dirampas daripada lelaki yang disyaki pecah cermin kereta dan samun di sekitar kawasan Bukit Gasing, Petaling Jaya. Foto Ihsan PDRM
Antara barang bukti yang dirampas daripada lelaki yang disyaki pecah cermin kereta dan samun di sekitar kawasan Bukit Gasing, Petaling Jaya. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Kegiatan seorang lelaki memecahkan cermin kereta serta samun di sekitar kawasan Bukit Gasing, di sini, terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di kawasan parkir kenderaan di Tasik Pandan Perdana di Ampang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 39 tahun berkenaan pada 1.30 tengah hari.

"Tangkapan itu dibuat susulan kejadian samun dan pecah cermin kereta yang sering berlaku di sekitar Bukit Gasing.

"Suspek dipercayai terbabit dengan satu kes samun serta dua kes pecah cermin kereta dan curi di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, soal siasat mendapati suspek mengaku melakukan jenayah pecah cermin kereta dan curi selain ragut di Jalan Gasing secara bersendirian sejak awal Mac lalu.

"Kami turut merampas dua motosikal Honda EX5 dan Yamaha Lagenda 115Z serta pelbagai barangan yang disyaki digunakan bagi melakukan jenayah berkenaan.

"Semakan nombor pendaftaran motosikal terbabit mendapati Honda EX5 itu dilaporkan hilang bersabit laporan di Tun H S Lee, Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan tiga rekod berkaitan dadah.

"Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai terbabit dengan kejadian samun di hadapan sekolah menengah di daerah ini, semalam.

Dalam kejadian itu, katanya, mangsa yang bekerja sebagai ejen hartanah berusia 30 tahun diragut ketika sedang berjoging di kawasan berkenaan pada 6.25 petang menyebabkannya kerugian sebanyak RM3,000.

"Susulan itu, kami menahan suspek di sebuah rumah di Taman Desa Ria pada 1.30 tengah hari ini dan merampas sebuah motosikal serta pakaian dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan.

"Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok, untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 8:40 PM