Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Anggota bomba yang bertugas dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini, kelmarin, mengambil risiko besar apabila tidak meninggalkan satu-satunya mangsa yang terselamat walaupun berdepan gelombang ketiga runtuhan tanah.

Ketua Zon 4 Hulu Langat Jabatan Bomba dan Penyelamat JBPM Selangor Shahrin Isma Mat Yusof berkata, ketika pihaknya menjalankan analisa risiko di lokasi, mereka menemui seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun yang masih hidup, namun dia terperangkap antara dinding rumah serta peti sejuk yang dihempap bongkah batu.

"Keutamaan kami ketika itu adalah mahu mengeluarkan mangsa berkenaan. Ketika operasi mengeluarkan mangsa dijalankan, gelombang ketiga berlaku.

"Meskipun begitu, anggota bertugas mengambil membuat keputusan untuk tidak meninggalkan mangsa walaupun mengetahui bahaya yang boleh menimpa mereka," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka bernasib baik apabila gelombang ketiga runtuhan tanah berkenaan tidak datang mendatangkan impak besar di lokasi kejadian.

"Kami berjaya mengeluarkan mangsa pertama dalam tempoh 30 minit sebelum meneruskan operasi mencari mangsa kedua yang juga isteri lelaki terbabit.

Penduduk Taman Bukit Permai 2, Tan Kok Meng, 43, melihat keretanya yang rosak teruk akibat tanah runtuh. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Penduduk Taman Bukit Permai 2, Tan Kok Meng, 43, melihat keretanya yang rosak teruk akibat tanah runtuh. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Ketua Operasi Pasukan Ameran Mura berkata, dia membantu mengeluarkan mangsa pertama yang tersepit di dalam rumahnya.

"Kami masuk ke dalam rumah mangsa melalui tingkap dengan memotong jeriji sebelum menemui lelaki itu tersepit dengan bahagian belakang badannya dihimpit pintu peti sejuk, manakala dadanya rapat ke dinding.

"Ketika itu, kami dengar mangsa cakap 'bantu saya' berulang kali. Saya minta anggota berinteraksi dengannya dan memaklumkan bantuan sudah sampai.

"Kami cuba menenangkan mangsa dan memastikan dia sentiasa dalam keadaan sedar. Pada masa sama, kami perlu tahu apa kecederaan dialaminya selain meminimumkan kesakitannya," katanya.

Menurutnya, melalui maklumat mangsa terbabit, pihak bomba mengetahui ada seorang lagi mangsa yang berada di dalam rumah itu.

"Ini sekali gus memudahkan pihak kami melakukan proses pengesanan mangsa berkenaan," katanya.

Sementara itu, anggota BBP Pandan Indah Muhamad Zalwi Ghazali berkata, dia bersama dua lagi anggota bomba ditugaskan untuk mengangkat peti sejuk dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) bagi mengeluarkan mangsa pertama yang tersepit terbabit.

"Selain itu, kami juga sedaya upaya menyelamatkan mangsa secara manual dengan mengetuk bongkah batu yang menghimpit peti sejuk berkenaan.

"Kami berjaya mengeluarkan mangsa pertama dalam tempoh 30 minit sebelum meneruskan operasi mencari mangsa kedua yang juga isteri lelaki terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 11:21 PM