BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis menasihatkan penduduk di 15 rumah di Jalan Bukit Permai 1, Ampang dekat sini, untuk mengosongkan kediaman dan berpindah sementara susulan berlaku gelongsoran tanah baharu semalam di kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, gelongsoran tanah agak besar itu dikesan berlaku pada 7 malam, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan atau kemusnahan harta benda.

"Kawasan Taman Bukit Permai 1 ini terletak di atas bukit iaitu berhampiran lokasi insiden cerun runtuh.

"Kita khuatir kejadian gelongsoran tanah yang baharu ini akan memberi kesan kepada satu deretan kediaman di kawasan itu, jadi kita nasihatkan mereka berpindah.

"Setakat ini, hanya satu lorong sahaja yang terbabit tetapi kita akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Farouk berkata, keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati kedudukan tanah tidak stabil dan boleh menjejaskan keselamatan penduduk di kawasan itu.

Pada Khamis lalu, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa, seorang cedera ringan selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Penduduk Taman Bukit Permai 2, Tan Kok Meng, 43, melihat keretanya yang rosak teruk akibat tanah runtuh. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Penduduk Taman Bukit Permai 2, Tan Kok Meng, 43, melihat keretanya yang rosak teruk akibat tanah runtuh. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 9:06 PM