GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Georgetown: Seramai 116 pegawai dan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut disahkan positif Covid-19 dalam tempoh seminggu lalu, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong.

Soffian berkata, mereka dijangkiti Covid-19 Kategori 1 dan 2 serta sedang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

"Selain pegawai dan anggota berkenaan, seramai 134 ahli keluarga mereka turut positif wabak itu. Tiada sesiapa dirawat di hospital setakat ini kerana mereka dalam Kategori 1 dan 2," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, jangkitan wabak itu dalam kalangan pegawai dan anggota setakat ini tidak mengganggu penugasan dan operasi di IPD Timur Laut.

Katanya, pihaknya menjalankan sanitasi secara berkala di premis berkenaan selain memastikan polis dan orang ramai yang berurusan di situ mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 4:35 PM