LELAKI ditahan, hari ini selepas mengamuk dengan membawa dua parang sejak malam tadi. FOTO tangkap layar video tular.
LELAKI ditahan, hari ini selepas mengamuk dengan membawa dua parang sejak malam tadi. FOTO tangkap layar video tular.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lelaki yang diburu sejak malam tadi kerana mengamuk dan mengganggu lalu lintas di Jalan Bukit Gambir, di sini, diberkas polis, hari ini.

Suspek berusia 53 tahun yang membawa dua sabit itu turut bertindak agresif ketika ditahan pada 11.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai lelaki terbabit yang melakukan kekacauan menggunakan senjata tajam di Jalan Ketitir, Sungai Dua, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, ketika pihaknya dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mahu menahan suspek, lelaki berkenaan melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran Universiti Sains Malaysia (USM), Jalan Bukit Gambir.

"Berikutan keadaan gelap dan berisiko kepada pasukan penyelamat, operasi mencari suspek terpaksa dihentikan sementara pada 2 pagi sebelum disambung semula 10 pagi hari ini.

"Suspek berjaya dikesan 10 minit kemudian di kawasan kabin tanaman milik USM," katanya kepada media, hari ini.

Soffian berkata, biarpun sudah diberi amaran, suspek enggan menyerah diri serta bertindak agresif sebelum melarikan diri ke arah jalan utama dan menakutkan pengguna jalan raya dan penduduk perumahan berhampiran.

Katanya, usaha menahan suspek berterusan dan kedua-dua bilah sabit turut dirampas.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau membabitkan sembilan kes dadah dan satu jenayah manakala saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca serta motif suspek bertindak demikian.

"Lelaki terbabit akan dirujuk ke hospital bagi menjalani rawatan termasuk penilaian tahap kesihatan mental," katanya.

Soffian berkata, dalam kejadian itu, tiada individu cedera atau harta benda awam rosak.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Senjata Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Terdahulu, video kejadian itu tular sejak semalam memaparkan lelaki berkenaan mengamuk dan mengganggu lalu lintas dengan membawa senjata dipercayai sabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 10:34 PM