GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Ahmad Hasbi

Seremban: Ditipu penjenayah menyamar sebagai kenalan rapat atau ahli keluarga selepas suspek menggodam akaun pada aplikasi telefon pintar mangsa.

Taktik penipuan itu kian meningkat apabila polis menerima sebanyak 97 laporan polis membabitkan akaun aplikasi Telegram yang digodam sebelum sebelum suspek menyamar mahu meminjam wang dari ahli kumpulan di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, terdapat dua modus operandi dikesan digunakan sindiket terbabit.

"Modus operandi pertama, mangsa menerima mesej menerusi Facebook daripada kenalan yang meminta menekan pautan akaun Telegram yang diberikan.

"Mangsa kemudiannya diarah log masuk ke pautan itu. Selang beberapa minit kemudian, mangsa akan mendapati akaun Telegram digodam selepas beberapa kenalan menghubungi mangsa menggunakan medium perhubungan lain memaklumkan sudah memberikan pijaman wang diminta," katanya semalam.

Menerusi modus operandi kedua, mangsa menerima pesanan menerusi WhatsApp kononnya daripada kenalan yang menggunakan nombor telefon baru meminta untuk memasukkan ke dalam 'group' Telegram.

"Mangsa kemudian menerima lima nombor digit kod daripada Telegram dan diminta menghantar semula nombor berkenaan kepada 'kenalannya' itu atau suspek," katanya.

Aibee berkata, sebanyak 32 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian berjumlah RM114,150 sejak awal 2021 hingga Februari tahun ini membabitkan kes berkenaan.

Menurutnya, setakat ini polis sudah mengenal pasti 55 akaun pelbagai bank tempatan digunakan sindiket untuk tujuan itu.

"Berdasarkan siasatan, ia dipercayai membabitkan sindiket yang beroperasi di luar negara. Ini berdasarkan pindahan wang dibuat ke akaun di luar negara selepas wang dimasukkan ke dalam akaun bank tempatan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) (a) Akta Jenayah Komputer.

Justeru, beliau menasihati orang ramai berhati-hati apabila menerima pautan daripada mana-mana individu serta tidak sesekali memberikan sebarang nombor kod diterima dalam pesanan telefon bimbit kerana boleh menyebabkan akaun mereka digodam oleh penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 2:18 PM