DATUK Seri Anwar Ibrahim berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
DATUK Seri Anwar Ibrahim berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Usul Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pembongkaran amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi Malaysia khasnya Bank Negara (BNM) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dirundingkan dalam Kamar Khas, hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, usul itu akan dirundingkan di Kamar Khas pada 2.30 petang ini dan dipengerusikan oleh Azhar sendiri.

Azhar berkata, beliau berpuas hati dengan usul itu kerana ia adalah perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai seperti syarat yang dinyatakan dalam Peraturan 18(1) dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Saya teliti usul itu. Untuk perkara tertentu itu ada dua bahagian...pertama, keterangan bekas (Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara) Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat mengenai rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan institusi Malaysia, adalah agak terlalu am dan tidak spesifik.

"Usul ini seterusnya menyatakan khasnya BNM berentetan daripada skandal 1MDB dan pembongkaran BNM...saya dapati ia perkara yang tertentu. Saya juga setuju ia perlu disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai. Saya benarkan usul dirunding dalam Kamar Khas 2.30 petang ini," katanya sebelum sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar bagaimanapun bangun mempersoalkan keputusan itu selain bertegas mahu usulnya tidak dibawa ke Kamar Khas sebaliknya dibahaskan di dalam Dewan Rakyat, kerana perkara itu membabitkan implikasi nasional dan antarabangsa terhadap imej serta maruah negara.

Azhar kemudiannya menjelaskan usul itu akan dirunding bukan untuk dibahas mengikut Peraturan 18.1 dan 18.2 dan kedudukan Kamar Khas adalah sama dengan Majlis Mesyuarat (persidangan) iaitu dibuat secara terbuka selain tidak mahu mengganggu Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.

"Kita bawa (usul) ke Kamar Khas agar tidak mengganggu Aturan Urusan Mesyuarat, kerana hari ini kita ada (perbahasan) Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja… pencadang diberi masa 90 minit, penyokong sejam dan Ketua Pembangkang juga 90 minit, kita punyai time constrained," katanya.

Terdahulu Anwar yang membacakan usul itu berkata usul itu perlu disegerakan kerana pembongkaran kes terkini terdedah ke peringkat antarabangsa dan memerlukan penjelasan segera kerajaan berikutan kegagalan agensi penguat kuasa negara khasnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu Anwar dalam kenyataan di Facebooknya memaklumkan sesi perbahasan Ketua Pembangkang yang dijadualkan 4.30 petang ini ditunda ke 11.30 pagi esok, bagi memberi laluan untuk sidang Kamar Khas merundingkan usul beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 2:56 PM