FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Usul mengenai laporan Petronas menjual aset gas di Azerbaijan dengan nilai hampir RM10 bilion akan dibahaskan pada Persidangan Kamar Khas Dewan Rakyat petang ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, usul itu dibenar dibahaskan di Kamar Khas selepas mendapati perkara itu memenuhi tiga syarat iaitu perkara yang tertentu, bagi kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

Usul itu dikemukakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) supaya merundingkan laporan penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan bernilai RM10 bilion berikutan desakan kerajaan Malaysia menaikkan bayaran dividen syarikat itu sebanyak RM25 bilion pada 2021.

"Perkara ini (penjualan aset gas di Azerbaijan)…adalah berbahaya dan menjejaskan masa depan Petronas. Tindakan seperti ini menyebabkan JP Morgan mengeluarkan Petronas daripada ESG Emerging Market and Bond Index dan ESG Asia Credit Index.

"Perkara itu perlu disegerakan kerana Petronas mengalami defisit berikutan pembayaran dividen berlebihan sejak 2018 sehingga kini yang memaksa Petronas menjual aset atau meminjam lebih banyak dana luar negara bagi menampung aliran tunai.

"Petronas institusi penting kepada ekonomi negara dan sewajarnya diperkukuh kekuatannya dan tidak dilemahkan penarafan syarikat, kemampuan untuk melabur bagi menjana masa hadapan yang mampu membayar dividen yang munasabah kepada kerajaan demi kepentingan rakyat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, Anwar mencadangkan supaya usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan 18 (2) itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Azhar memutuskan usul itu perlu dibahaskan di Kamar Khas, menyebabkan Anwar bangun mencelah dengan menegaskan keperluan untuk membahaskannya di Dewan Rakyat walaupun dengan masa yang singkat memandangkan ia berkaitan kesan kepada ekonomi negara, pendapatan dan masa depan Petronas.

"Oleh demikian, sepatutnya hal yang menyentuh kepentingan negara dan kepentingan ekonomi negara yang diakui sendiri maka sewajarnya Dewan (Rakyat) sepatutnya membahaskan," kata Anwar.

Azhar kemudiannya menjelaskan tiada perbezaan sekiranya membahaskan di Kamar Khas atau di dewan memandangkan keduanya mempunyai prosiding sama yang boleh dilihat oleh orang ramai, dirakam serta direkodkan melalui hansard dewan.

"Saya sudah putuskan untuk diadakan di Kamar Khas sebab kita ada urusan lain di Dewan ini… ada dua rang undang-undang yang agak besar untuk dihabiskan pada hari ini, maka seperti amalan biasa saya luluskan di Kamar Khas," kata Azhar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 2:13 PM