Bangunan Parlimen.
Bangunan Parlimen.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat yang berakhir hari ini menyaksikan 12 Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul berkata, persidangan yang berlangsung selama 31 hari bermula 13 Februari lalu itu turut meluluskan usul menjunjung kasih Titah Diraja, Belanjawan 2023 selain empat usul daripada kerajaan.

"Dalam pada itu, mesyuarat memperlihatkan pembaharuan antaranya Waktu Pertanyaan Menteri bagi hari Selasa dijawab oleh Perdana Menteri.

"Mesyuarat kali ini juga memperlihatkan jumlah pertanyaan bagi jawapan lisan kerap kali melebihi 10 pertanyaan lisan, disusuli urusan kamar khas memberi peluang kepada tujuh Ahli Parlimen dari pihak kerajaan dan enam pembangkang untuk mempengerusikan secara sementara mesyuarat kamar khas di bawah Peraturan Mesyuarat 16 (5), tidak pernah terjadi," katanya dalam ucapan penutupan di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, selain itu, usul perkara tadbir kerajaan di bawah Peraturan Mesyuarat 17 di kamar khas kali ini boleh diucap lebih dua usul dengan maksimum empat usul daripada Ahli Parlimen.

"Ini membawa kepada 83 ucapan dirunding di kamar khas kali ini dalam masa 29 hari.

"Melihat kesungguhan Yang Berhormat dalam urusan dewan, sidang Dewan Rakyat juga kerap berlanjutan hingga waktu malam... terdapat juga hari di mana sidang tidak ditangguhkan pada 1 tengah hari. Saya dan Timbalan Speaker mengucapkan terima kasih," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat dijangka disambung semula selama 11 hari bermula 22 Mei hingga 15 Jun depan, berbanding jadual asal selama 10 hari mulai 12 hingga 27 Jun.

Pindaan tarikh persidangan itu bagi memberi laluan kepada Ahli Parlimen yang akan menjalani ibadah haji tahun ini untuk membuat persiapan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 4:08 PM