Muhammad Sanusi.
Muhammad Sanusi.
Oleh M Hifzuddin Ikhsan


Baling: Bilik darjah Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera di sini, yang menjadi lokasi sebenar Rundingan Baling 1955 bakal dijadikan galeri khas bagi memperingati peristiwa bersejarah berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata ketika ini salah satu bilik di sekolah berkenaan dijadikan Galeri Putera bagi menempatkan pameran berkaitan peristiwa itu.

Katanya, pembinaan galeri itu sebelum ini dibuat atas inisiatif orang ramai dan pihak pengurusan sekolah yang mahu ia dijadikan rujukan penting kepada masyarakat serta pengkaji sejarah.

"Kerajaan negeri melalui Pegawai Daerah Baling sudah memulakan perbincangan dengan Jabatan Warisan Negara supaya bilik darjah yang menjadi lokasi sebenar rundingan dijadikan galeri.

"Kita hanya dapat bantu menggerakkan usaha ini dan segala keputusan adalah pada pihak Jabatan Warisan Negara, namun kita yakin rancangan ini dapat dilaksana," katanya kepada pemberita selepas hadir di Majlis Pelancaran Buku 'Liku-Liku Pertemuan Baling' di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak di sini, semalam.

Hadir sama EXCO Pendidikan negeri, Datuk Najmi Ahmad dan Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah.

Awal tahun lalu, bangunan Galeri Putera yang hanya menjadi tempat pemimpin komunis, Chin Peng berehat, mengalami kerosakan akibat ditimpa pokok, namun kerja membaiki sudah dilakukan.

Rundingan Baling pada 28 dan 29 Disember 1955 menyaksikan pertemuan antara Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dan Chin Peng, bagi membincangkan tawaran pengampunan kepada pengganas komunis.

Pertemuan itu dianggap penting kepada sejarah Malaysia berikutan ia memberi keyakinan kepada British bagi mempercepatkan proses kemerdekaan negara pada 1957.

Sementara itu, Sanusi berkata, perjuangan komunis mungkin sudah berakhir di negara ini, namun ideologinya masih dibawa pihak tertentu.

"Kita perlu ambil pengajaran bahawa ideologi komunis ini kejam dan zalim sehingga sanggup memaksa orang menerima fahaman mereka sehingga tahap membunuh.

"Saya percaya ideologi PKM tidak 'terbunuh' sepenuhnya kerana teorinya masih dikaji dan meresapi perjuangan parti politik tertentu, walaupun mereka tidak lagi angkat senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 12:49 PM