Gambar fail, Dr Nor Ibrahim menunjukkan buku mengenai perjuangan anggota TUDM ketika ditemui di rumahnya pada 2019. FOTO Bernama.
Gambar fail, Dr Nor Ibrahim menunjukkan buku mengenai perjuangan anggota TUDM ketika ditemui di rumahnya pada 2019. FOTO Bernama.
BERNAMA

Jitra: Walaupun sudah meniti usia emas, Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman masih sanggup memerah otak untuk menghasilkan naskhah ilmiah demi kecintaan yang mendalam terhadap sejarah negara.

Memilih Rundingan Baling atau 'Baling Talks' sebagai fokus penulisan, veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berusia 72 tahun itu pada awalnya menzahirkan pengetahuannya berhubung perjuangan wira negara menerusi laman blog yang dibangunkan beliau pada 2009.

"Memang saya tak nafi bahan bacaan sejarah agak berat, kurang diminati oleh segolongan besar rakyat, terutama sekali golongan remaja. Tetapi saya rasa bersalah jika tidak kongsi apa yang saya tahu, walaupun sekelumit.

"Satu lagi faktor mengapa saya sanggup berkorban masa dan wang (untuk menulis buku), ialah kerana saya nak beri pandangan tentang apa yang berlaku di belakang tabir sebelum pertemuan itu berlaku," katanya kepada Bernama di sini.

Setelah bertahun mengumpul maklumat berhubung Rundingan Baling, lahirlah buku bertajuk 'Liku-Liku Pertemuan Baling' yang diterbitkan khas oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan lepas.

Menurut bekas juruterbang pesawat Nuri itu, beliau tidak menggunakan istilah Rundingan Baling sebagai tajuk buku kerana berpandangan tidak wujud istilah rundingan dalam pertemuan di antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng tersebut.

"Kedua-duanya tidak berganjak dari agenda masing-masing. Tunku (Abdul Rahman) dari awal lagi mengatakan tujuan beliau bertemu dengan Chin Peng adalah untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti yang mahu komunis menyerah diri dan dengan tegasnya menyatakan beliau sama sekali tidak akan mengiktiraf PKM.

"Sebaliknya, Chin Peng pula bertegas supaya kerajaan mengiktiraf PKM dan mereka tidak akan menyerah diri dan akan meneruskan perjuangan mereka ke titisan darah terakhir, menyerah diri tidak sama sekali, tak kisahlah walaupun Malaya dah merdeka," katanya.

Nor Ibrahim berkata beliau juga sebenarnya memasang niat untuk menyumbang karyanya itu kepada Arkib Negara dan juga perpustakaan negeri kerana mendapati bahan-bahan mengenai topik berkenaan agak kurang di kedua-dua institusi tersebut.

"Saya sendiri semasa nak mencari maklumat tentang Rundingan Baling ini sampaikan minta tolong daripada rakan di luar negara untuk dapatkan maklumat dan syukurlah dia sudi membantu," katanya.

Menjengah sekilas ke ruang 'Kata Pengantar' buku kelima karya Nor Ibrahim, Felo Muzium Negeri Pahang Prof Datuk Dr Ramlah Adam mengungkapkan bahawa penulis berjaya merakam sejarah sebagai satu khazanah dan warisan bangsa negara, dan tulisannya patut dicontohi sebagai pencinta ilmu sejarah yang tidak mengenal usia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 9:50 AM