GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Kita sebenarnya mengalami masalah kerana virus Covid-19 bermutasi menghasilkan pelbagai varian baharu. Jika tidak kerana varian ini, isu pandemik ini sudah lama selesai," ujar Pakar perunding perubatan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose.

Menurutnya, negara pastinya sudah mencapai imuniti kelompok ketika ini jika bukan disebabkan penularan varian baharu.

"Wujudnya mutasi baharu sekaligus mengganggu perancangan bagi menghentikan wabak Covid-19.

Apabila wujud mutasi baharu maka keberkesanan vaksin juga terganggu.

"Sehubungan itu pemberian suntikan dos penggalak (booster) terpaksa digunakan kerana data menunjukkan penggunaan booster sahaja yang dapat membantu mengekang penyebaran varian Omicron," katanya.

Menurutnya, walaupun varian Omicron mengalami sebanyak 32 mutasi namun kesannya tidak seteruk varian delta pada Julai tahun lalu.

"Namun varian Omicron mempunyai kecekapan untuk merentas empat kali ganda berbanding varian delta. Malah satu kajian di Hong Kong mendapati apabila varian Omicron ini masuk ke dalam badan, ia dapat membiak 70 kali lebih pantas.

"Bila dijangkiti Omicron walaupun tidak seteruk varian Delta ia masih menyebabkan mereka yang mengalami kencing manis, jantung dan paras imuniti yang tidak tinggi berada dalam tahap kritikal," katanya ketika sesi temubual bersama Melaka FM petang tadi.

Beliau berkata, rakyat perlu berhati-hati dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya keadaan tidak menjadi bertambah teruk.

"Virus Omicron didapati boleh tinggal di permukaan kulit dan pada permukaan plastik tinggal dua kali lebih lama berbanding virus asal Covid-19.

"Sifat varian Omicron amat dinamik kerana cepat berubah, bertahan lebih lama dan bijak untuk menerobos segala perlindungan dan perancangan manusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 6:15 PM