ALZAMANI Mohammad Idrose. FOTO FB
ALZAMANI Mohammad Idrose. FOTO FB
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Apabila anda tidak serius mengamalkan SOP (prosedur operasi standard), anda memberi 'peluru hidup' kepada virus untuk 'frontliner' ditembak," luah Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose.

Dalam tulisan 'Medan Perang Dalam Hospital' yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Dr Alzamani meluahkan kekesalan terhadap sikap masyarakat yang dilihat semakin alpa mematuhi SOP pencegah penularan wabak Covid-19 ketika barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan bertungkus lumus menghadapi kes baharu yang mencanak saban hari.

"Anda masih makan beramai-ramai di pantri dan kedai makan pada jarak kurang satu meter? Anda ketawa terbahak-bahak di meja yang dicantumkan? Anda membuka pelitup muka dan mengambil gambar di kenduri-kendara? Anda bersalam, berpeluk dan cium dengan saudara jauh yang melawat?

"Malah, tanpa sekelumit rasa bersalah dan penuh bangga anda berkongsi gambar-gambar yang diambil rapat-rapat kurang satu meter dalam keadaan membuka pelitup muka di media sosial dan ini seterusnya menjadi ikutan orang lain.

"Ia amat menusuk hati kerana menjadi bukti langgar SOP yang sengaja dipamerkan," katanya.

Dr Alzamani berkata, masyarakat harus ingat bahawa kes Covid-19 sudah pun meledak dan kita berada dalam peperangan yang momentumnya deras dengan jumlah kes adalah tertinggi kini.

Katanya, barisan hadapan sedang bertarung dan ada yang tumbang 'hasil sumbangan' daripada kealpaan masyarakat menjaga SOP penularan wabak Covid-19.

"Apabila anda tidak serius mengamalkan SOP, anda memberi 'peluru hidup' kepada virus untuk 'frontliner' ditembak. Mereka yang serius pula menjadi perisai kepada kami dan sungguh kami hargai.

"Terima kasih atas budi baik anda. Sebenarnya hanya anda sahaja yang boleh memenangkan peperangan ini, bukan kami. Kami hanya menguruskannya sahaja," katanya.

Dr Alzamani turut berkongsi situasi yang dilalui oleh petugas barisan hadapan kesihatan setiap hari susulan peningkatan kes baharu wabak Covid-19 kebelakangan ini.

"Katil penuh dengan kes berisiko Covid-19. Pasukan kami bekerja keras tanpa henti. Kes-kes pula tidak dapat masuk ke wad kerana semua katil hospital penuh. Malah kes-kes yang perlukan ventilator yang sepatutnya masuk ICU (Unit Rawatan Rapi) terpaksa diurus di zon kecemasan.

"Kami juga berhadapan dengan rakan-rakan yang 'tumbang' satu persatu kerana dijangkiti Covid-19. Malah kes-kes berisiko di kecemasan semasa bertugas hari ini, walaupun tiada kontak dengan pesakit Covid-19, lima daripada mereka positif Covid-19 apabila menjalani ujian makmal.

"Malah, semalam satu kes yang ditikam isteri selepas bergaduh, positif Covid-19. Merawat trauma satu hal, merawat Covid-19 pula satu hal lagi. Yang positif dadah methamphetamine', sawan, angin ahmar, serangan jantung semuanya masuk ke zon rawatan yang sudah pun penuh," luahnya.

Beliau berkata, satu-satunya penenang jiwa adalah pasukan mereka menerapkan sikap sabar, bantu-membantu dalam susah dan senang sehingga membolehkan setiap kali habis syif kerja semua yang keletihan itu masih tetap mengukir senyuman mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekerja satu syif.

Cuma katanya, bagi setiap petugas itu merasai tidak selesa kerana rakan-rakan setugas yang akan mengambil alih syif menerima katil yang penuh dengan pesakit pada permulaan syif.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 2:40 PM