SARAVANAN mengiringi Ismail Sabri bergambar dengan penerima Anugerah Majikan Prihatin Pemangkin Pasaran Kerja pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja 2020. FOTO Aizuddin Saad
SARAVANAN mengiringi Ismail Sabri bergambar dengan penerima Anugerah Majikan Prihatin Pemangkin Pasaran Kerja pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja 2020. FOTO Aizuddin Saad
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tiada kenaikan gaji minimum boleh menyebabkan sektor ekonomi gig menjadi pilihan individu yang menganggur.

Menteri Sumber Manusia (KSM) Datuk Seri M Saravanan turut menyifatkan ia cabaran besar yang bakal dihadapi kerajaan untuk 'memujuk' mereka merebut peluang yang ditawarkan di bawah program padanan kerja kelolaan kementerian.

Katanya, KSM sedang mengkaji untuk meningkatkan gaji minimum untuk memastikan golongan berkenaan memilih pekerjaan sektor ekonomi gig supaya mengambil peluang pekerjaan sedia ada.

"Melalui latihan disediakan dan program bekerja di rumah, rakyat Malaysia khususnya hilang peluang pekerjaan mencapai pendapatan lebih daripada RM1,200.

"Maka cabaran hari ini, KSM... kita adakan Penjana Kerjaya macam ini untuk kita perlu mencari, mengenalpasti, memujuk pihak majikan untuk memberikan satu pendapatan lumayan.

"Kalau tidak, mereka yang masih menganggur akan pilih (pekerjaan) ekonomi gig sebagai pilihan sekiranya mereka tidak dapat apa-apa melebihi RM1,200. Saya fikir mereka pilih ekonomi gig untuk bekerja. Ini satu cabaran besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Inisiatif JaminKerjadi Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam ucapannya, Saravanan berkata, sektor kritikal seperti pelancongan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 akan diberi tumpuan di bawah Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia.

Katanya, ia bagi menyokong pemulihan dalam industri berkenaan.

"Menerusi usaha seperti ini, diharapkan isu pengangguran dalam kalangan Keluarga Malaysia dapat ditangani dengan berstruktur, berkesan dan menyeluruh.

"Saya juga sudah mengarahkan Perkeso sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan negara untuk mengadakan lebih banyak program untuk membantu lebih ramai pencari kerja untuk mendapatkan bantuan penempatan pekerjaan," katanya.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KDM) sentiasa komited dalam memperjuang serta memperkasakan pasaran buruh yang menjadi faktor kritikal bagi tujuan pembangunan ekonomi negara .

"Penularan pandemik Covid-19 dalam dua tahun kebelakangan ini menyaksikan penguncupan ekonomi negara iaitu sebanyak 5.6 peratus bagi 2020.

"Bagaimanapun, dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021, ekonomi negara kembali berkembang sebanyak tiga peratus.

"Malah, pelbagai indikator ekonomi utama menunjukkan momentum pemulihan yang kukuh apabila negara memasuki 2022," katanya.

Menurutnya, Statistik Tenaga Buruh Malaysia pada November 2021, kadar pengangguran negara mencatatkan penurunan kepada 4.3 peratus atau 694,400 orang susulan pelbagai langkah yang diambil kerajaan bagi menjanakan semula ekonomi negara.

"Angka ini berbanding 705,000 orang yang dicatatkan pada Oktober 2021.

"Malah, negara turut menyaksikan bilangan penduduk yang bekerja meningkat pada November 2021 sebanyak 0.4 peratus dengan 15.61 juta orang, berbanding 15.55 juta pada Oktober 2021," katanya.

Katanya, selaras dengan hasrat kerajaan bagi mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan pada 2022 menerusi program Jamin Kerja di bawah Bajet 2022, Kementerian Sumber Manusia komited untuk melaksanakan beberapa inisiatif yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 3:43 PM