Maiamalina Mohamed Amin dan Suraya Roslan


KADAR pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei tahun ini berbanding lima peratus pada bulan sebelumnya.

Menteri Sumber Manusia Datuk M Saravanan berkata, antara pekerjaan yang paling terjejas adalah sektor pelancongan, pembuatan dan perkhidmatan dan tidak terkecuali golongan bekerja sendiri yang sebahagian besarnya terdiri daripada peniaga dan pengusaha kecil-kecilan.

Angka itu didedahkan melalui persidangan Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta unjuran kadar pengangguran negara dan anggaran jumlah penduduk yang menganggur sehingga akhir tahun.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, kumpulan pekerja ini terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada 5.3 peratus berbanding lima peratus pada April 2020.

"DOSM menganggarkan julat maksimum kadar pengangguran adalah dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun ini," katanya.

Menurutnya, mengikut DOSM, indikator ekonomi bagi Mei 2020 menunjukkan ekonomi beransur pulih berbanding April 2020.

"Di sebalik trend negatif dalam penawaran tenaga buruh hingga Mei 2020, keadaan ini bertambah baik jika dibandingkan dengan April 2020.

"Ini adalah hasil daripada pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan bagi mencapai sasaran tertentu," katanya.

Katanya, dalam jangka masa pendek, situasi tenaga buruh pada Jun tahun ini dianggarkan akan bertambah baik manakala dalam tempoh jangka sederhana hingga separuh kedua tahun ini, pasaran buruh dijangka terus mengukuh.

"Ini terbukti sehingga 2 Jun lalu, DOSM mendapati lebih kurang 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei 2020.

"Kerajaan menyedari bebanan yang dihadapi rakyat dan telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN PKS TAMBAHAN yang berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan beban aliran tunai hampir 11 juta rakyat serta memberi sokongan kepada lebih 300,000 syarikat," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung peluang pekerjaan dan bidang baharu bagi mengatasi kadar pengangguran yang meningkat di Malaysia, Saravanan berkata, kementeriannya sudah tidak membenarkan mana-mana pekerja asing bekerja di negara ini sehingga hujung tahun ini.

"Kita sudah tidak membenarkan pekerja asing bekerja di negara ini sehingga hujung tahun ini, saya percaya ini memberi ruang dan peluang kepada pekerja tempatan," katanya.

M Saravanan di Dewan Rakyat.
M Saravanan di Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 11:48 AM