M.Saravanan menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
M.Saravanan menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mendedahkan 66 syarikat dikesan membuat tuntutan palsu dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang mengambil kesempatan daripada inisiatif yang diberikan kerajaan untuk memastikan jumlah pengangguran ketika pandemik dapat diminimumkan.

Menurutnya, menerusi PenjanaKerjaya, sebanyak 45,379 syarikat mendapat manfaat dengan peruntukan RM2 bilion.

"Daripada jumlah itu, 66 syarikat dikesan mengambil kesempatan dan menyalahgunakan dana PenjanaKerjaya.

"Saya kemudian mengarahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menjalankan siasatan forensik dalaman bagi mengenal pasti syarikat yang terbabit.

"KSM kemudiannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan serta ideologi politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Saravanan berkata, ekspo selama lima hari sehingga 27 Julai ini menyediakan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Katanya, program ini menyasarkan semua golongan pencari kerja termasuk graduan dan golongan rentan seperti warga emas, Orang Kurang Upaya, veteran askar, orang asli dan bekas banduan.

"Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian yang dikendalikan Perkeso menyediakan 300,000 daripada sasaran 600,000 peluang pekerjaan menerusi Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia menerusi Bajet 2022.

"Statistik Perkeso bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Julai lalu, sebanyak 52,157 permohonan program JaminKerja-Insentif Penggajian diterima dari 7,724 majikan.

"Bagi tempoh sama juga, Perkeso berjaya menempatkan 99,851 pencari kerja menerusi program JaminKerja-Insentif Penggajian dan program kebolehpasaran lain," katanya.

Tambahnya, KSM percaya usaha berterusan perkhidmatan pekerjaan dan kebolehpasaran termasuk penganjuran ekspo kerjaya pada hari ini, dapat membantu lebih ramai pencari kerja mendapatkan pekerjaan dan membina kerjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 4:44 PM