Raja Noraina Raja Rahim dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mencipta sejarah tersendiri daripada pelbagai aspek dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Bukan saja calon perlu menduduki SPM dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat di dewan peperiksaan, tetapi juga pembaharuan daripada segi peperiksaan kertas jawapan yang dibuat secara dalam talian.

Selain itu, proses pengeluaran keputusan disingkatkan, semakan keputusan dan slip peperiksaan secara dalam talian serta pengedaran sijil SPM juga disegerakan.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penularan jangkitan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggunakan kaedah baharu bagi membolehkan calon dapat menduduki peperiksaan dan mendapat keputusan dengan segera.

"Kita tahu bahawa dalam konteks pelaksanaan PKP, pergerakan adalah terhad selain risiko sekiranya guru berkumpul untuk membuat pemarkahan. Maka kita berbincang untuk membolehkan guru pemeriksa membuat pemeriksaan kertas peperiksaan secara dalam talian.

"Buat pertama kali dalam sejarah, semua kertas peperiksaaan SPM diperiksa secara dalam talian kecuali seni visual.

"Ini merupakan perubahan ke arah kebaikan yang kita laksanakan dalam tempoh singkat tetapi penuh teratur dan terancang," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hari ini.

FOTO hiasan
FOTO hiasan

Mengulas lanjut, Radzi berkata, sebanyak lima juta skrip kertas peperiksaan diimbas dan dimuat naik ke dalam sistem yang disediakan KPM.

Menurutnya, skrip kertas peperiksaan itu boleh diakses oleh semua guru pemeriksa di seluruh negara untuk melaksanakan pemarkahan.

"Alhamdulillah penggunaan kaedah ini mempercepatkan banyak proses namun ia bukan mudah," katanya.

Peperiksaan SPM yang kebiasaannya diadakan pada November setiap tahun terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang memaksa penutupan sekolah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 10:13 AM