GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Tiada kempen bersemuka antara prosedur operasi standard (SOP) yang boleh diteruskan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, ia boleh mengelak dari berlakunya perkumpulan ramai yang merisikokan masyarakat.

Menurutnya, penularan Omicron yang masih tinggi mungkin akan lebih parah jika kempen bersemuka dan aktiviti kempen tanpa kawalan diteruskan.

"SOP PRN Melaka sebelum ini boleh digunakan malah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengetatkan lagi SOP susulan peningkatan kes positif Covid-19," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, PRN Johor tidak boleh dielakkan namun apa yang penting semua pihak khususnya pengundi, calon dan jentera parti mengambil tanggungjawab bersama.

Katanya, dengan varian Omicron yang mudah menular boleh meningkatkan kes positif dengan mendadak.

"Kes positif dan kemasukan pesakit Covid-19 di Johor juga masih tinggi dan ia sebenarnya masih membimbangkan.

"Jangan disebabkan ghairah berkempen, parti politik mengabaikan SOP sehingga meningkatkan kes positif selepas PRN selesai nanti," katanya.

Tambahnya, ujian kendiri lebih kerap perlu dijalankan semua pihak yang terbabit agar mereka boleh mengetahui tahap kesihatan setiap masa.

Katanya, jangan ada sikap sambil lewa dalam kalangan masyarakat kerana walaupun tidak menyebabkan simptom teruk namun Omicron tetap berisiko membawa maut.

SOP bagi PRN Johor kini pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon.

Ketua Komunikasi Korporat SPR, Mohammad Azlan Charles Abdullah, dilapor berkata, suruhanjaya itu akan mengumumkan SOP berkenaan melalui kenyataan media selepas mendapat kelulusan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 4:40 PM