Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding PRN Melaka dan Sarawak.

Menterinya, Khairy Jamaluddin (KJ) berkata, bagaimana pun perincian berhubung SOP itu akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum penamaan calon.

"Tidak ada kluster Covid-19 dikesan ketika PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini dan dari segi kesihatan awam, kita sudah berjaya menyekat penularan wabak itu.

Khairy Jamaluddin (tengah) menyerahkan replika kunci simbolik kepada penyerahan Wellness on Wheel (WoW) kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid (kanan) di Wellness Hub Bagan Pinang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Khairy Jamaluddin (tengah) menyerahkan replika kunci simbolik kepada penyerahan Wellness on Wheel (WoW) kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid (kanan) di Wellness Hub Bagan Pinang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

"Sekarang ini kita benarkan PRN sewaktu gelombang Omicron tetapi Kementerian Kesihatan akan buat kajian kesan Omicron terhadap kesihatan awam," katanya selepas selesai Majlis Pemeteraian Kerjasama Promosi Kesihatan antara Wellness Hub KKM dan rakan strategik di Bagan Pinang di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihaknya yakin PRN boleh dilaksanakan, namun terpulang kepada pematuhan (terhadap SOP) daripada orang ramai termasuk pemimpin politik yang lain.

"Kita dah ada dua pilihan raya sebelum ini tidak ada peningkatan kes, namun disebabkan ketika ini negara berada dalam gelombang Omicron maka akan ada peningkatan kes.

"Kita harap kes tidak bergelaja teruk yang mana boleh teruskan dengan PRN (Johor).

"SOP (PRN Johor) masih agak ketat, tetapi bukan macam sebelum pendemik. Ada perkara yang KKM tidak benarkan tetapi ada perkara yang kita benarkan namun berbeza daripada PRN Melaka dan Sarawak," katanya.

Tambahnya, pihaknya akan terus memantau perkembangan kes jangkitan Omicron yang semakin tinggi ketika ini

"Kes jangkitan Omicron di negara lain pun cepat merebak tidak terkecuali negara kita namun kesannya tidaklah seburuk varian Delta dan tempoh rawatan pun lebih singkat. Mungkin sebab kita sudah ada perisai (vaksin).

"Namun begitu kita harus berhati-hati dan tidak memandang mudah (kesan jangkitan) kerana ia juga boleh menjadi bahaya kepada mereka yang ada penyakit sedia ada seperti darah tinggi, kencing manis, jantung dan sebagainya," katanya.

Khairy berkata, mereka yang sudah lengkap menerima vaksin serta dos penggalak ibarat sudah ada perisai (pertahanan diri).

"KKM sentiasa komited dalam mempromosikan budaya hidup sihat namun tidak dinafikan bahawa amalan hidup tidak sihat seperti kurang aktiviti fizikal, cara hidup, pemakanan tidak seimbang, merokok dan seumpamanya sentiasa menjadi ancaman kepada kesejahteraan kesihatan rakyat.

"Budaya hidup sihat adalah pelindung kesihatan yang akan terus diperhebatkan di kalangan masyarakat dan yang penting harus menjaga penjarakan sosial terutama di khalayak ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 6:03 PM