BANGUNAN Canselori USIM di Nilai. FOTO FB USIM.
BANGUNAN Canselori USIM di Nilai. FOTO FB USIM.
Mohd Amin Jalil


Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membenarkan 70 peratus pelajar pulang ke kampus bagi meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermula 21 Mac depan.

Ia selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pengumuman daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi bermula pada bulan hadapan.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin, berkata sesi pengajian secara bersemuka dibenarkan untuk pelajar yang lengkap vaksinasi.

Katanya, aktiviti PdP yang ditetapkan adalah secara hibrid mengikut program pengajian.

"Bagi pelaksanaan mengikut kursus pula ia akan dilaksanakan berdasarkan tiga kaedah iaitu bersemuka sepenuhnya, secara bersemuka dan dalam talian atau dalam talian sepenuhnya.

"Setiap fakulti akan merancang kaedah PdP segerak (synchronous) dan tidak segerak (asynchronous) dengan mengambil kira kemampuan data dan capaian internet pelajar.

"Fakulti dan Bahagian Pengurusan Akademik juga akan merancang jadual pengkuliahan mengikut SOP yang ditetapkan seperti pematuhan penggunaan kapasiti ruang sebanyak 50 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi kaedah pelaksanaan peperiksaan akhir pula, ia akan dilaksanakan secara bersemuka atau secara dalam talian seperti amalan biasa atau penilaian akhir gantian individu bergantung kepada kesesuaian program pengajian.

Katanya, USIM akan berusaha untuk memastikan penyampaian program pengajian secara dalam talian atau hibrid adalah berkesan dan mencapai kualiti program yang ditetapkan.

"Dalam masa sama memastikan aspek kebajikan pelajar diberi perhatian supaya kesihatan fizikal dan mental mereka sentiasa berada dalam tahap yang baik.

"Kita akan memantau secara berterusan dan menyediakan pelan tindakan bagi menangani isu-isu berbangkit," katanya.

Dr Mohamed Ridza berkata, bagi pelajar yang berada di Kolej Kediaman, Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL), pihaknya akan mengusahakan gelembung selamat kampus.

"Antaranya dengan mengehadkan kawalan keluar masuk pelajar dalam waktu yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

"Bilik Gerakan Covid-19 USIM turut beroperasi bagi menyelaras maklumat dan tindakan pencegahan dalam membendung penularan wabak berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 10:57 AM