BANGUNAN Canselori USIM di Nilai. FOTO FB USIM.
BANGUNAN Canselori USIM di Nilai. FOTO FB USIM.
Mohd Amin Jalil


Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hanya membenarkan penuntut, kakitangan pentadbiran dan akademik yang lengkap vaksinasi Covid-19 memasuki kampus itu.

Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, ketetapan itu dibuat sebagai usaha memastikan keselesaan dan keselamatan semua warganya, sekali gus melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang akan berlangsung.

"Semua warga USIM perlu melengkapkan dua dos suntikan vaksin terlebih dulu jika ingin masuk ke kampus dan membabitkan diri dengan sesi PdP atau apa-apa bentuk pertemuan fizikal di dalam kampus.

"Tiada kompromi bagi warga USIM yang tidak lengkap vaksin untuk masuk ke kampus. Namun demikian, USIM akan bertindak berdasarkan ketetapan yang diputuskan kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mohamed Ridza berkata, setakat ini hampir 40 peratus daripada 9,489 penuntut dan 94 peratus daripada 1,686 kakitangan institusi itu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, pihaknya juga menyediakan nota panduan untuk tatacara pensyarah mengajar dan membuat penilaian yang sesuai ke atas penuntut bagi menjamin kualiti pendidikan meskipun terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak.

Menurutnya, bagi kehadiran penuntut bagi PdP bersemuka, USIM menetapkan kegunaan ruang pembelajaran dihadkan kepada 50 peratus berbanding kapasiti penuh.

Selain itu, USIM menyambut baik kebenaran kemasukan penuntut ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober ini dan sedang giat melakukan persiapan untuk memastikan proses itu lancar.

"Bagaimanapun PdP bagi Semester I sesi akademik 2021/2022, masih lagi akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian, manakala PdP secara hibrid akan dilaksanakan bagi program pengajian yang membabitkan latihan amali, makmal, studio, badan beruniform dan keperluan mengikut standard program serta badan profesional," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 12:14 PM