DENGAN PdP secara hibrid, pensyarah boleh lebih kreatif untuk mempelbagaikan cara pengajaran.
DENGAN PdP secara hibrid, pensyarah boleh lebih kreatif untuk mempelbagaikan cara pengajaran.
Suliati Asri


SITUASI pasca pandemik Covid-19 melanda, ramai yang sudah terbiasa menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Hampir sebulan kembali ke kampus, selain pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bagaimana dengan PdP secara hibrid yang dilaksanakan?

Adakah ia dilaksanakan sebaiknya seperti mana yang diperkatakan?

Bagaimana pula dengan suasana pembelajaran di kampus? Adakah ia kembali seperti biasa walaupun perlu mematuhi SOP?

Pelajar Kejuruteraan Mekanikal Universiti Malaya, Ahmad Izzuddin Mohd Isa berkata, selain suasana di kampus dan pembelajaran sememangnya berlainan walaupun dikatakan PdP secara hibrid.

Menurutnya, ini kerana walaupun berada di kampus, kebanyakan pelajar masih perlu mengikuti PdP secara dalam talian.

"Apabila pelajar dapat kembali ke kampus, perasaan itu sangat gembira kerana tidak perlu merisaukan perkara lain selain fokus dalam pelajaran dan aktiviti di kolej.

"Namun, ketika di kampus, pergerakan cukup terhad. Untuk ke makmal bagi pelajar yang berkeperluan perlu mempunyai surat kelulusan dari pihak fakulti termasuk berjumpa dengan pensyarah cara bersemuka.

"Secara keseluruhannya, berada di kampus tetapi tetap belajar secara dalam talian seperti mana di rumah," katanya yang sangat merindui mengadakan perbincangan secara berkumpulan secara bersemuka dengan rakan seperti dahulu.

WALAUPUN masih dapat melihat wajah masing-masing, menghadiri kuliah seperti dulu adalah suasana yang dirindu pelajar.
WALAUPUN masih dapat melihat wajah masing-masing, menghadiri kuliah seperti dulu adalah suasana yang dirindu pelajar.

Walaupun gembira berada di kampus, namun Ahmad Izzuddin sedikit 'tidak berpuas hati' dengan keadaan sebenar yang dialaminya kini.

Sesi kuliah dan tutorial juga dilaksanakan secara dalam talian serta keadaan itu cukup mengecewakan.

"Apabila mendengar PdP secara hibrid, pada saya, sesi kuliah diadakan secara dalam talian manakala tutorial pula secara bersemuka di dalam kelas.

"Namun, apabila kedua-duanya dilakukan secara dalam talian, ramai pelajar merasakan mereka kurang mendapat peluang untuk bertanya terus dengan pensyarah.

"Komunikasi dengan pensyarah secara bersemuka masih terhad walaupun berada di kampus," katanya.

Oleh yang demikian, saya berharap agar pengajaran dan pembelajaran hibrid yang dikatakan itu lebih mendalam.

"Kalau boleh, pembelajaran hibrid ini bukan terhad hanya kepada makmal saja tetapi juga sesi kuliah.

"Jika sesi kuliah yang diadakan dengan jumlah pelajar yang ramai, ia boleh dibuat secara dalam talian tetapi sesi tutorial yang membabitkan lebih kurang 20 pelajar dan boleh mematuhi SOP, mungkin boleh dilakukan secara bersemuka," katanya.

Sementara itu, bagi Pengarah Akademi Pendidikan Sekolah Makmal, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Mohd Hafiz Md Hanif berkata, rata-rata pelajar sememangnya menunggu untuk kembali ke kampus kerana mereka sudah lama menanti saat itu.

Suasana di kampus bagi pelajar dan pensyarah juga pastinya tidak seperti dahulu.

WALAUPUN sudah kembali ke kampus, pergerakan pelajar terbatas demi mematuhi SOP yang ditetapkan.
WALAUPUN sudah kembali ke kampus, pergerakan pelajar terbatas demi mematuhi SOP yang ditetapkan.

Mengulas mengenai PdP secara hibrid, kata Dr Mohd Hafiz, UPSI menggunakan kedua-dua kaedah iaitu secara dalam talian dan bersemuka serta merasakan kaedah itu berjaya.

Hibrid ini adalah situasi menang-menang yang mana kita perlu mematuhi SOP tetapi dalam masa sama kita berpeluang kembali belajar secara bersemuka.

"PdP secara hibrid ini mengembalikan mod pengajaran iaitu secara bersemuka dan ditambah dengan pembelajaran secara dalam talian.

"Apa yang saya lihat sekarang, disebabkan kita mempunyai pengalaman lebih kurang setahun mengajar secara dalam talian, apabila ke hibrid ia boleh dilaksanakan dengan baik.

"Ia juga secara tidak langsung dapat menangani pelbagai permasalahan yang dihadapi dari segi pendemik dan saya rasa ini adalah situasi menang-menang," katanya.

Dr Mohd Hafiz berkata, hibrid ini juga adalah norma baharu dan beliau berharap dari segi teknologi ia memberi ruang kepada pensyarah dan pelajar meneroka lebih banyak peluang ataupun cara mengajar atau belajar yang mungkin sebelum ini tidak dipedulikan.

"Dengan adanya hibrid ini juga, kita mahu tidak mahu perlu meneroka apakah pilihan selain daripada PdP sebelum ini iaitu bersemuka sahaja.

"Jadi, dengan bantuan teknologi, pensyarah juga perlu kreatif dan tidaklah hanya mengajar seperti dulu.

"Pensyarah dan pelajar perlu kreatif dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dalam kelas seperti mengadakan perbincangan kelas menerusi kaedah hibrid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 7:00 AM