GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Malaysia merekodkan 15 kes kematian disebabkan Covid-19 dengan lima daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Menerusi data yang dikongsikan dalam laman web COVIDNOW, jumlah kematian yang dicatatkan itu termasuk kes tertunggak.

Empat kes masing-masing dilaporkan di Johor dan Perak.

Selain itu dua kes kematian masing-masing dilaporkan di Kelantan dan Terengganu serta masing-masing satu kes di Kedah, Melaka dan Sabah.

Perkembangan itu menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 32,114 kes angka korban akibat Covid-19 di negara ini.

Bagi kes BID atau pesakit Covid-19 meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan, dua kes dilaporkan di Johor dan masing-masing satu kes di Kedah, Kelantan dan Sabah.

Ia menjadikan sehingga kini jumlah kumulatif kes BID di negara ini meningkat kepada 6,488 kes.

Mengenai kes Covid-19 yang masih aktif di negara ini, data menunjukkan sehingga semalam terdapat sejumlah 140,336 kes.

Daripada jumlah itu, 127,984 kes atau 91.2 peratus kini sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, 4.5 peratus atau 6,254 kes pula kini berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), hospital (5,922), unit rawatan rapi (ICU) (78) dan ICU yang memerlukan alat bantuan pernafasan (98).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 9:51 AM