Pengebumian jenazah mangsa Covid-19. FOTO ARKIB NSTP
Pengebumian jenazah mangsa Covid-19. FOTO ARKIB NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Sebanyak 13 lagi kematian membabitkan Covid-19 direkodkan setakat tengah malam tadi, menyumbang kepada sejumlah 31,831 kes di negara ini.

Data dari laman sesawang CovidNow menunjukkan, tiga daripada kematian akibat Covid-19 yang dikesan semalam membabitkan kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Sehingga kini, sebanyak 6,420 kes BID akibat Covid-19 dilaporkan di negara ini.

Menurut laman sesawang GitHub Kementerian Kesihatan (KKM) pula, tiga negeri serta wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan dua kematian manakala Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor, masing-masing mencatatkan satu kes kematian akibat Covid-19, semalam.

Sebanyak 41,129 kes aktif juga dilaporkan semalam, dengan sejumlah besar kes iaitu 34,253 menjalani kuarantin di rumah; seramai 3,989 pesakit menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan seramai 2,725 pesakit lagi dirawat di hospital.

Sementara itu, sebanyak 264,635 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam, membabitkan 258,337 dos ketiga; 4,317 dos kedua dan 1,981 dos pertama.

Sehingga semalam, sebanyak 61,540,069 dos vaksin Covid-19 sudah diberikan kepada populasi Malaysia.

Sehingga kini, sebanyak 97.9 peratus populasi dewasa negara sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing manakala 88.2 peratus populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun juga sudah lengkap divaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 10:40 AM