TINJAUAN foto  keadaan semasa di Pusat Pemberian Vaksin Mega bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) WTC KL. FOTO Amirul Johari|
TINJAUAN foto keadaan semasa di Pusat Pemberian Vaksin Mega bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) WTC KL. FOTO Amirul Johari|
Aizat Sharif


Kangar: Penerima dos penggalak vaksin Covid-19 dicadangkan tidak perlu menandatangani surat yang menghalang ganti rugi sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) yakin tidak berlaku sebarang risiko buruk menerusi pemberian vaksin berkenaan.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, KKM perlu memberi bayaran pampasan sekiranya berlaku apa jua kesan buruk terhadap kesihatan penerima dos penggalak vaksin Covid-19 itu.

"Cadangan ini selepas melihat ramai yang memberitahu terdapat kesan buruk kesihatan yang mereka hadapi selepas menerima dos penggalak.

"Bahkan, ada yang mendakwa maut walhal KKM pula sering menafikan berlakunya kejadian seumpama itu," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan tidak berlaku sebarang ketidakadilan, KKM boleh membuktikan kebenaran mereka dengan memberi jaminan bayaran pampasan sekiranya berlaku kesan buruk ke atas penerima.

"Ini baru seimbang untuk membuktikan dakwaan KKM itu jujur bukan kerana ada unsur lain seperti perniagaan dan seumpamanya seperti yang dituduh.

"Jika tidak, saya lihat kemarahan rakyat dalam isu ini makin membesar dan sukar ditangkis oleh kerajaan," katanya.

Sebelum ini, wujud kebimbangan pada orang ramai termasuk Dr Mohd Asri sendiri selepas bapanya dimasukkan ke hospital lebih seminggu selepas keadaan kesihatan bapanya itu dilihat semakin teruk selepas mendapat dos penggalak vaksin Covid-19.

Dr Mohd Asri mendakwa bapanya muntah dan menjadi sangat lemah selepas menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 yang ketiga.

Malah, seorang doktor menyatakan kepadanya bahawa bapanya sekali lagi diserang angin ahmar di bahagian sensitif kepalanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 3:24 PM