BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak bercadang menjadikan pengambilan dos penggalak sebagai syarat wajib buat masa ini untuk melengkapkan dos vaksin Covid-19 bagi rakyat negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, seperti vaksin dos pertama dan kedua, pengambilan dos penggalak adalah secara sukarela.

"Walaupun peratusan (penerimaan) dos penggalak agak perlahan iaitu hanya 10.83 peratus sahaja setakat ini, tetapi kita tidak boleh jadikan booster (dos penggalak) sebagai wajib.

"Tetapi dengan munculnya varian yang membimbangkan (VOC) Omicron, kita sarankan agar dos penggalak ini diambil," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) mengenai sama ada Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjadikan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksin Covid-19 susulan terdapat 30 hingga 40 peratus penerima dua dos vaksin menolak untuk mengambil dos penggalak.

Menjelas lanjut, Aaron berkata, KKM akan terus giat melaksanakan langkah dan kempen bagi memastikan penerima dos lengkap vaksin menerima dos penggalak.

Menjelas lanjut, Aaron berkata, KKM akan terus giat melaksanakan langkah dan kempen bagi memastikan penerima dos lengkap vaksin menerima dos penggalak.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Menjawab soalan asal Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) mengenai kajian dan data yang dirujuk KKM dalam memutuskan tentang keperluan dos ketiga, Aaron berkata, ia hasil analisis interim yang melaporkan terdapat 10 peratus iaitu 55 kes daripada 551 petugas kesihatan mendapat jangkitan selepas menerima vaksin lengkap Comirnaty dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Beliau berkata, dalam satu kajian lagi iaitu RECoVaM (The Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines under the Malaysia National Covid-19 Immunisation Program) yang dijalankan ke atas 14,500,984 individu yang menerima dos lengkap, terdapat jangkitan dan kadar keseluruhan adalah 1.30 antara 100 orang.

"Separuh daripada kesemua breakthrough infections (mendapat jangkitan) berlaku dalam tempoh 30 hari, kadar breakthrough infection meningkat dengan peningkatan hari sejak penerimaan dos lengkap vaksin dan kadar jangkitan adalah 5.20 peratus hingga 5.32 peratus dalam tempoh 120 hari selepas dos lengkap," katanya.

Sementara itu, Aaron berkata, sehingga 30 November lalu, penerima dos penggalak adalah seramai 2,457,510 orang atau 10.83 peratus daripada jumlah penduduk dewasa yang telah menerima dos lengkap.

Beliau berkata, dos itu diberikan kepada individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas dengan keutamaan kepada kumpulan rentan serta berisiko tinggi bagi memastikan perkhidmatan kesihatan negara terus berfungsi dalam tahap optimum.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai perkembangan serta kepentingan suntikan dos penggalak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 12:51 PM