Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan ketika bertugas di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). FOTO ASYRAF HAMZAH
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan ketika bertugas di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). FOTO ASYRAF HAMZAH
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: "Kami sepatutnya bersarapan bersama-sama selepas arwah selesai bertugas di Plaza Tol Gombak, tetapi arwah tidak dapat dihubungi dan tak sangka menerima berita mengejutkan kematiannya," kata Adi Asyraf Mohd Yusof, 29.

Dia adalah kenalan rapat kepada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad 'Azizi Azizan, 29, yang maut dalam kemalangan ketika mengejar pesalah trafik di Kilometer 13 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Plaza Tol Gombak di sini, hari ini.

Adi Asyraf berkata, semalam dia bersama arwah dan rakan yang lain menghabiskan masa bersama di sebuah restoran.

"Arwah ada beritahu dia kena pulang cepat kerana perlu masuk kerja pada 6.30 pagi, kami berjanji untuk bersarapan bersama selepas selesai tugas arwah.

"Tapi pada 10 pagi arwah gagal dihubungi sebelum kami diberitahu dia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya," katanya ketika ditemui di Hospital Selayang di sini, hari ini.

Menurutnya, arwah sudah berkahwin sejak empat tahun lalu dan jarang bercerita mengenai rumah tangganya.

"Kami memang selalu lepak bersama, selalu bermain futsal, namun saya tidak sangka pertemuan malam tadi adalah pertemuan terakhir saya dan arwah.

"Memang sangat terkejut, arwah memang sangat komited dalam kerjayanya," katanya.

Muhammad 'Azizi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialaminya.

Dia dikatakan cuba mengejar sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki yang bertindak melarikan diri dari sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak dengan menunggang secara melawan arus di laluan itu.

Difahamkan sejurus tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang Muhammad 'Azizi hilang kawalan dan terbabas di laluan berkenaan sebelum dilanggar sebuah kereta, sekitar 9.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 3:23 PM