GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zuhainy Zulkiffli


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang sedang menyiasat beberapa aduan berhubung kenaikan harga ayam di negeri itu.

Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Ridzuan Ab Ghafar berkata, aduan yang diterima membabitkan kenaikan harga ayam di pasar borong pada harga RM9 hingga RM10 sekilogram.

Menurutnya, siasatan awal mendapati berlaku kenaikan harga kerana peniaga mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal pada harga tinggi.

"Siasatan sedang dijalankan dan KPDNHEP juga akan mengeluarkan notis mengenainya.

"Sudah menjadi trend kenaikan harga setiap kali musim perayaan dan peniaga diingatkan supaya tidak mengambil keuntungan yang tidak munasabah manakala pengguna juga perlu menjadi pembeli bijak," katanya ketika dihubungi di Georgetown hari ini.

Sebarang aduan, boleh hubungi bilik gerakan di talian 04-2552456 bagi Timur Laut dan Barat Daya; Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah (04-3801700) serta Seberang Perai Utara (04-5751703) atau menerusi aduan dalam talian dengan melayari http://eaduan.kpdnhep.gov.my/eaduan atau melalui Whatsapp 019-2794317.

Sementara itu, kebimbangan mengenai kenaikan harga ayam turut disuarakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya memandang berat mengenai kenaikan harga runcit daging ayam yang dilaporkan antara RM8 hingga RM8.50 sekilogram sejak minggu lalu.

Menurutnya, ia adalah kenaikan yang mendadak iaitu daripada RM7 dalam tempoh seminggu.

"Dengan Aidilfitri yang bakal menjelma dan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pengguna pula dihimpit masalah kewangan.

"Mungkin kita perlu mengingatkan kerajaan bahawa bukanlah menjadi tanggung jawab pengguna bagi mengetahui masalah dalam rantaian makanan sehingga berlaku kenaikan harga, tetapi mereka bertanggungjawab bagi menangani masalah kenaikan harga ayam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 8:16 PM