FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) digesa supaya campur tangan bagi mengatasi masalah kelewatan pengedaran benih padi yang dihadapi petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Kedah ketika ini.

Ia susulan dakwaan mengenai lebih 30,000 daripada 57,635 petani di kawasan Mada sehingga kini tidak dapat melakukan penanaman benih yang sepatutnya dijadualkan pada 1 April lalu berikutan kelewatan berkenaan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, mereka kesal dengan pihak yang diberi tanggungjawab bagi menguruskan keperluan itu kepada petani kerana gagal melaksanakannya dengan sempurna.

Katanya, CAP bimbang jika masalah itu berterusan bukan sahaja petani terbabit akan terjejas kehidupan mereka, tetapi boleh menggugat bekalan makanan dan ekonomi negara.

"Kerajaan juga diminta supaya menyalurkan bantuan atau memberi pampasan kepada petani yang mengalami kelewatan mengusahakan sawah mereka.

"Ia adalah bagi menampung perbelanjaan berikutan sumber pendapatan mereka sudah terjejas akibat masalah itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohideen berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai Jelapang Padi Negara yang berdepan dengan masalah kelewatan benih padi sah.

Keadaan itu menyebabkan petani Mada yang terbabit mengadakan bantahan terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), di Kampung Pulau Kabu, Kedah, semalam, kerana gagal membekalkan benih padi kepada mereka walaupun musim penanaman sudah tiba.

Menurut Mohideen lagi, tinjauan CAP juga mendapati petani bukan sahaja menghadapi masalah kelewatan menerima bekalan benih padi sah tetapi juga bahan itu kerap tidak mencukupi akibat diancam makhluk perosak, kemarau dan banjir.

Sehubungan itu CAP meminta Mafi menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh wakil Jabatan Pertanian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Persatuan Petani dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menyiasat punca masalah itu.

"Jawatankuasa berkenaan juga perlu mendedahkan kepada orang ramai hasil siasatan yang diperoleh dan tindakan yang diambil terhadap masalah ini.

"CAP berharap supaya masalah itu diberi perhatian serius oleh Mafi kerana petani bukan saja menjadi penyumbang utama kepada sumber bekalan makanan kepada rakyat tetapi juga ekonomi negara. Mada adalah jelapang padi negara yang harus dijaga pengeluaran hasilnya supaya tidak terjejas," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 3:15 PM