Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kenaikan harga ayam selain berdepan kekurangan bekalan kira-kira tiga bulan lalu menyebabkan peniaga terkesan apabila mendakwa mendapat untung minimum demi menjaga pelanggan.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Siti Khadijah, di sini, hari ini mendapati ayam segar dijual pada harga antara RM9.50 hingga RM10 sekilogram (kg).

Pada masa sama, kebanyakan peniaga juga mendakwa mengalami kekurangan bekalan ayam selain pembekal ayam turut mengehadkan bekalan kepada peniaga.

Peniaga ayam, Zarina Abdullah, 52, berkata sejak sebulan yang lalu, dia menjual ayam pada harga RM9 sekilogram, namun terpaksa menaikkan harga ayam sehingga RM9.50 sejak dua hari lalu.

Menurutnya, ia disebabkan bekalan ayam yang diperoleh daripada pemborong dibeli pada harga yang agak tinggi.

"Sebagai peniaga, saya juga berasa tertekan dan tebal muka kerana terpaksa menjual ayam pada harga yang tinggi seperti itu.

"Lebih membimbangkan, bekalan ayam turut tidak stabil sekali gus tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan, malah pemborong juga mula mengehadkan bekalan ayam," katanya ketika ditemui, di sini.

Peniaga ayam lain, Mohd Akif Asyraf Abdullah, 35, berkata dia difahamkan kenaikan harga ayam berlaku di peringkat ladang biarpun permintaan ayam amat tinggi.

"Sebelum ini saya mampu menjual sehingga 250 ekor ayam sehari, namun ketika ini masalah utama adalah bekalan berkurangan dan terpaksa mencatu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Pada masa sama, pembekal juga berhadapan dengan gangguan bekalan ayam dan turut menyebabkan peniaga sukar untuk menganggarkan harga ayam sama ada naik atau turun," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Suhaimi Husin, 46, berkata biarpun harga ayam turun naik, dia tidak menaikkan harga nasi ayam yang dijual di kedainya.

"Saya akui pada ketika ini harga ayam naik sehingga membebankan peniaga, namun saya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menjual pada harga yang ditetapkan sebelum ini disebabkan rasa kasihan kepada pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 3:42 PM