Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kenaikan mendadak harga ayam segar bukan sahaja membebankan pengguna, malah ia turut memberi kesan kepada golongan peniaga kecil.

Tinjauan di beberapa pasar di sini, hari ini mendapati harga ayam yang dijual di pasar awam berkenaan meningkat kepada RM9.50 bagi sekilogram (kg) berbanding RM7 hingga RM8 kg sebelum ini.

Peniaga ayam, Mariam Salleh, 70, berkata, kenaikan mendadak harga ayam segar itu sudah berlanjutan sejak dua bulan lalu berikutan pembekal meletakkan harga tinggi menyebabkan peniaga tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga.

"Saya tidak menaikkan harga sesuka hati, sebaliknya menjual ayam berdasarkan harga dibekalkan penternak dan sekiranya penternak menurunkan harga, saya akan menurunkannya juga.

"Susulan daripada kenaikan harga ayam segar ini, jualan saya turut terkena tempias apabila ia merosot berbanding sebelum ini selain terpaksa menghadkan bekalan ayam disebabkan permintaan sedikit terjejas," katanya.

Manakala Hanisah Deraman, 64, berkata, sejak berlakunya peningkatan harga ayam secara mendadak, dia terpaksa mengehadkan bekalan ayam kerana tidak mahu berlakunya pembaziran.

"Kesan kenaikan ini juga menyebabkan pembeli turut merungut. Jika sebelum ini pelanggan biasa membeli dua ekor, tetapi disebabkan harga tinggi mereka hanya membeli seekor sahaja.

"Bagaimanapun bagi memenuhi permintaan pelanggan yang datang membeli di pasar ini, pada setiap hari saya hanya mengambil 20 ekor ayam daripada pembekal di sekitar Kota Bharu dan ada ketikanya ayam tidak habis dijual," katanya.

Manakala seorang lagi peniaga ayam, Kamariah Daud, 56, berkata, harga ayam segar yang dijual pada ketika ini adalah antara yang paling tinggi dalam tempoh 30 tahun sejak berniaga, namun dia juga tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menaikkan harga ayam seperti peniaga lain.

"Saya difahamkan, harga dedak yang meningkat selain pembekal terpaksa mengambil bekalan ayam daripada pembekal di Terengganu, Perak dan Johor Bharu menjadi antara punca kenaikan harga ayam dalam pasaran di Kelantan pada ketika ini.

"Saya menjadi kebingungan apakah punca yang menyebabkan berlakunya kenaikan mendadak harga ayam dalam tempoh yang begitu lama sehingga memberi kesan kepada peniaga selain turut mendapat rungutan daripada pembeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 1:59 PM