FENOMENA air surut habis yang berlaku setiap tahun  membolehkan orang ramai menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah dengan hanya berjalan kaki tanpa menggunakan bot. FOTO ihsan Mazwin Teh Abdul Rahman
FENOMENA air surut habis yang berlaku setiap tahun membolehkan orang ramai menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah dengan hanya berjalan kaki tanpa menggunakan bot. FOTO ihsan Mazwin Teh Abdul Rahman
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan meningkatkan pemantauan bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak dingini berlaku ketika fenomena air surut habis di Pulau Pangkor yang menjadi tumpuan ramai.

Fenomena yang berlaku Februari setiap tahun itu membolehkan orang ramai menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah dengan berjalan.

Ketua Zon 3 JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, fenomena itu menjadi tumpuan pelancong ke peranginan berkenaan bagi merasai pengalaman yang disebabkan fenomena alam semula jadi itu.

Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pangkor akan berkerjasama dengan semua agensi berkaitan termasuk operator rekreasi pantai bagi memastikan keadaan di lokasi terkawal pada hari berkenaan.

"Kita mendapat maklumat dalam tempoh minggu kedua Februari dijangka ada satu hari yang air akan surut sehingga boleh berjalan dari Teluk Nipah ke Pulau Giam.

"Justeru kita akan melakukan pemantauan menggunakan dua bot dengan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pangkor.

"Di darat kita akan bersedia dengan peralatan menyelamat di permukaan sebagai tindakan alternatif untuk fenomena ini," katanya selepas melakukan pemeriksaan bangunan pada musim perayaan Tahun Baru Cina bertujuan menghindari bahaya kebakaran, hari ini.

SHAZLEAN Mohd Hanafiah (dua kiri) ketika pemeriksaan bangunan di pasar raya di Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
SHAZLEAN Mohd Hanafiah (dua kiri) ketika pemeriksaan bangunan di pasar raya di Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Shazlean berkata, pihaknya juga menyokong sepenuhnya sektor pelancongan, namun berharap pengunjung dan penduduk setempat dapat mematuhi arahan keselamatan ketika melakukan sebarang aktiviti.

"Kita tidak ada kuasa untuk menghalang mereka pergi ke sana (berjalan ke Pulau Giam) tetapi orang ramai dinasihatikan supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.

"Tindakan pengunjung yang tidak mengikut dan mematuhi serta tahu jadual air pasang surut boleh mendatangkan risiko kepada mereka (kerana air surut mempunyai had tempoh).

"Jadi perlu sentiasa peka dan memeriksa jadual selain memakai jaket keselamatan serta boleh menempah bot (jika air mula pasang pada waktu mahu pulang ke darat)," katanya.

Menurutnya, pihaknya merekodkan dua kes lemas di pulau berkenaan dalam tempoh dua tahun iaitu satu kes di Pulau Giam, Pantai Teluk Nipah pada Februari 2020, manakala satu kes lagi di sebuah pelantar pada Jun tahun lalu.

Sementara itu, shazlean berkata, pihaknya mensasarkan pemeriksaan 510 premis seperti perniagaan dan jabatan kerajaan di daerah ini bagi pemeriksaan keselamatan bangunan pada tahun ini.

"Pada tahun lalu kita melakukan pemeriksaan ke atas 318 premis dan mengeluarkan notis kepada 80 premis, kebanyakannya berkaitan tempoh luput alat pemadam api dan laluan keluar yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Manakala lima premis dikenakan tindakan pendakwaan kerana tidak mematuhi syarat kebombaan. Untuk pemeriksaan hari ini kita mendapati semua peralatan dalam keadaan berfungsi dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 3:25 PM