GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kedah mencatatkan satu lagi kluster institusi pendidikan baharu hari ini apabila 32 kes direkodkan di Kolej Martikulasi Kedah, Persiaran Kayu Manis, Changlun.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Othman Warijo berkata, kluster terbabit diisytiharkan sebagai Kluster Dah Kayu Manis dan pelajar yang positif kini sedang menjalani kuarantin di kampus.

"Selain itu individu yang menjadi kontak rapat atau bergejala juga tidak dibenarkan pulang ke rumah dan mereka diisolasi dalam kampus sepanjang cuti Tahun Baru Cina ini.

"Hanya pelajar yang negatif saja dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sehingga hari ini, Kedah sudah mencatatkan 18 kluster institusi pendidikan.

Kluster berkaitan institusi pendidikan membabitkan guru dan pelajar di Kedah mula direkodkan pada 11 Januari lalu, dengan Kluster Dah Che Bema yang tercetus selepas dua hari sekolah dibuka semula.

Sementara itu, Dr Othman menasihatkan orang ramai melakukan ujian saringan kendiri sebelum pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina.

"Adalah amat penting setiap individu yang mahu berkunjung ke rumah sanak saudara atau kenalan memastikan mereka tidak bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas.

"Jika ada yang bergejala atau ujian saringan Covid-19 positif, batalkan perjalanan dan duduk di rumah," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga diminta untuk menghadkan masa ketika berada di tempat rehat atau awam seperti di kedai makan, tempat membeli belah, surau dan hentian rawat dan rehat (R&R).

Katanya, ketika sampai ke destinasi, pakai pelitup muka dan elakkan persentuhan dengan saudara dan sahabat yang tidak tinggal bersama.

"Sembang atau makan di ruang yang ada aliran udara bebas.

Hadkan masa sembang dan makan bersama, seeloknya kurang daripada 15 minit.

"Orang ramai digalakkan menginap di inap desa atau hotel dan sebaik ada gejala dan pulang daripada perjalanan, ulangi ujian saringan kendiri saliva dan lakukan uji, lapor, asing, maklum dan cari (TRIIS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 4:44 PM