GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) kesan tiga kluster membabitkan institusi pendidikan dan dua daripadanya berpunca daripada kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikesan di Sepang yang dikenali sebagai Kluster Jalan Enam Kampung Bahru.

"Kluster ini membabitkan pelajar di sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan 6, Kampung Bahru Lanjut, Sepang. Kes indeks bagi kluster ini ialah kanak-kanak perempuan, berumur tiga tahun.

"Kes mula menunjukkan gejala pada 7 Oktober lalu sebelum dilaporkan positif Covid-19 pada 11 Oktober lalu hasil saringan individu bergejala.

"Sehingga kini, sebanyak 27 individu sudah disaring dan 14 daripadanya disahkan positif Covid-19 termasuk dua kes baharu yang dikesan hari ini," katanya dalam kenyataan.

Bagi kluster kedua, Dr Noor Hisham berkata ia dinamakan sebagai Kluster Juaseh yang dikesan di Segamat, Johor serta sudah menjangkiti 26 individu.

"Kluster ini membabitkan pelajar dan kakitangan pusat pendidikan yang terletak di Kampung Juaseh Pekan Air Panas, Labis, Segamat.

"Kes indeks bagi kluster ini adalah remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 16 Oktober hasil saringan individu bergejala. Sehingga kini seramai 75 individu sudah disaring, 26 daripadanya positif," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kluster terakhir yang membabitkan institusi pendidikan ialah Kluster Dataran Wangsa di Titiwangsa.

"Kluster ini membabitkan pelajar dan kakitangan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan Dataran Wangsa 1, Wangsa Melawati, Titiwangsa.

"Kes indeks adalah seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 16 Oktober lalu hasil saringan individu bergejala. Kes mula bergejala pada 13 Oktober. Sehingga kini 50 individu sudah disaring dan 11 daripadanya disahkan positif," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kluster hari ini, Dr Noor Hisham berkata, selain tiga kluster institusi pendidikan itu, pihaknya turut mengesan sembilan lagi kluster.

Kluster yang dikesan itu membabitkan enam di tempat kerja, dua dalam kalangan komuniti dan satu keagamaan. Perkembangan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 580 kluster yang masih aktif di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:13 PM