Foto hiasan
Foto hiasan
Ahmad Hasbi

Tampin: Sayu hati seorang isteri apabila menemui mayat suaminya dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta dibalut dengan kain dan dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Jalan Cenaga Baru, Kampung Repah di sini, petang hari ini.

Difahamkan, mayat berkenaan ditemukan pada 2.30 petang ketika isteri mangsa ke rumah sewa suaminya untuk melihat keadaan lelaki itu selepas tidak menjawab mesej sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan menerusi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin yang memaklumkan seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah rumah yang berkunci.

"Isteri bersama ibu dan anak pasangan itu ke rumah sewa lelaki berkenaan pada 2.30 petang bagi melihat keadaan mangsa yang tidak berjaya dihubungi kira-kira dua hari.

"Wanita berkenaan kemudiannya melihat melalui tingkap kerana rumah berkunci sebelum ternampak mangsa dalam keadaan perut kembung, kaki dan tangan terikat serta berbungkus sebelum meminta jiran menghubungi bomba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati lokasi kejadian adalah rumah sewa kampung dan mangsa ditemui di atas tilam dalam sebuah bilik dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta dibalut dengan kain.

"Berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, kali terakhir mereka berhubung pada 3 petang Selasa lalu. Isterinya menghantar mesej menerusi WhatsApp pada Rabu dan hari ini, namun tidak dijawab," katanya.

Anuwal berkata, berdasarkan pemeriksaan awal pihaknya menganggar mangsa meninggal dunia lebih 24 jam lalu dan mayatnya sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tunku Jaafar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 9:54 PM