MALIK bersyukur isteri dan cucu terselamat selepas rumahnya terbakar. FOTO Nazri Abu Bakar
MALIK bersyukur isteri dan cucu terselamat selepas rumahnya terbakar. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Saya bersyukur sempat menyelamatkan cucu berusia 10 tahun dan isteri sebaik rumah didiami kami terbakar awal pagi tadi," ujar pesara awam, Malik Yassin, 67,

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, rumah mangsa di Kampung Paya Rumput di sini, musnah terbakar sepenuhnya.

Malik berkata, kejadian berlaku ketika dia baru pulang dari kebun dan ingin mengambil mesin rumput untuk meneruskan kerja membersih halaman rumah.

"Namun saya terdengar bunyi letupan dan bau hangit menyebabkan saya segera meletakkan mesin rumput dan masuk ke dalam rumah.

"Saya terkejut mendapati asap memenuhi ruang rumah. Api dilihat mula membakar bahagian hadapan rumah kayu pusaka peninggalan ibu mentua itu," katanya.

Menurutnya dia kemudian segera membawa cucu dan isterinya yang berada di dapur keluar dari kediaman itu.

Malik berkata, kebakaran menyebabkan barangan berharga serta dokumen peribadinya musnah terbakar.

"Kebiasaan saya pulang dari kebun jam 12 tengahari namun hari ini (semalam) saya pulang awal. Syukur kami semua selamat, terima kasih kepada penduduk yang sempat membantu membawa keluar beberapa barangan termasuk menolak motosikal di bahagian dapur dan tong gas ketika api marak," katanya.

Malah kucing kesayangan cucunya juga dapat diselamatkan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheng, Roslan Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.25 pagi.

Katanya, api dapat dikawal kira-kira jam 10.46 pagi dan dipadamkan sepenuhnya jam 11.25 pagi.

Keterangan gambar

Melaka: 23.1.2023. Syukur selamat

Pix 1- Malik Yassin, 67 menunjukkan rumahnya yang terbakar di Kampung Paya Rumput.FOTO NAZRI ABU BAKAR

Pix 2- Malik Yassin di rumahnya yang terbakar di Kampung Paya Rumput.FOTO NAZRI ABU BAKAR

Pix 3- Keadaan rumah Malik Yassin yang terbakar.FOTO NAZRI ABU BAKAR

TAMAT

Message

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 5:59 PM