Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pas Kelantan menghormati pendirian Umno negeri itu apabila membuat keputusan untuk memutuskan hubungan politik dengan parti itu, semalam.

Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa kerana itu adalah pendirian Umno.

"Pendirian kita, Pas masih lagi duduk bersama dengan Umno dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) serta untuk memperkasakan lagi PN.

"Kita hormat pendirian mereka (Umno), tetapi memandangkan (kita) melihat perpaduan orang Melayu dan Islam ini penting, hasrat kita akan teruskan bersama Umno sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) sempena sambutan dua dekad penubuhan Kias di Nilam Puri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Rektor Kias Prof Dr Ab Aziz Mohd Zin.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Pas membuat perbincangan dengan Biro Politik Umno, semalam.

"Dalam perbincangan itu, kita secara mesra memahami ada hasrat pihak Umno untuk memutuskan (hubungan politik) kerana dia tidak boleh terima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Mungkin ada kemudaratan kepada dia (Umno) dengan Bersatu.

Ahmad Yakob di majlis Pelancaran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sempena sambutan dua dekad penubuhan KIAS di Nilam Puri di sini, hari ini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI
Ahmad Yakob di majlis Pelancaran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sempena sambutan dua dekad penubuhan KIAS di Nilam Puri di sini, hari ini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI

"Kita juga mohon supaya perkara (hubungan politik) ini jangan diputuskan kerana melihat kepada keadaan semasa yang sangat baik, kehidupan masyarakat majmuk, hubungan Pas dengan Umno juga baik. Tetapi kita tidak boleh buat apa-apa sebab itu pendirian mereka.

"Kita terima, tetapi dari segi usaha perpaduan kita teruskan kerana Islam meminta kita supaya bersatu padu," katanya.

Mengulas berkenaan hasrat Umno Kelantan yang mahu bertanding di semua kerusi pada PRU-15, Ahmad berkata, beliau berharap tidak ada pertandingan tiga penjuru, malah hanya dua penjuru demi kepentingan Melayu dan Islam.

Media semalam melaporkan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya tidak lagi bersama dengan Pas negeri melalui MN berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat berikutan Pas Kelantan masih menjalin kerjasama dengan Bersatu dan tetap memilih parti itu untuk menghadapi PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 1:25 PM