Siti Rohana Idris

Gua Musang: "Kalau sebelum ini kami tidak keluar rumah kerana Covid-19, tetapi kini akibat takut harimau yang bila-bila masa boleh muncul," kata penduduk Orang Asli dari Pos Bihai, Liana Adek.

Liana, 28, berkata penduduk kampungnya sering terserempak dengan harimau belang sebelum serangan terhadap Anek Along, 59, baru-baru ini, namun kebimbangan agak berkurangan sejak kawalan dilakukan pihak berkuasa.

"Sebelum ini ramai yang terserempak dengan harimau pada waktu malam dan jika tidak nampak secara langsung sekalipun, kami tahu haiwan itu berkeliaran di kawasan kampung menerusi salakan anjing.

"Walaupun rasa takut agak berkurangan, kami tetap susah hati kerana tidak dapat bebas keluar bekerja sekali gus terputus sumber pendapatan," katanya ketika ditemui di Rumah Inap Orang Asli (Rika) daerah Gua Musang, di sini, hari ini.

Liana yang sarat mengandung tujuh bulan menumpang di rumah inap desa itu sebagai persediaan sementara dibawa ke Hospital Gua Musang untuk melahirkan bayi ketiganya.

Dia yang ditemani suaminya, Minram Aning, 30, berkata ibunya yang bekerja di ladang kelapa sawit di Pos Bihai sudah lama tidak keluar bekerja dan nasib baik bekalan makanan dihulurkan pihak berwajib.

"Ancaman harimau belang agak menyusahkan hidup kami kerana sudah tidak bebas keluar tapi rasa lega kerana pihak berkuasa membantu mengawal keselamatan," katanya.

LIANA Adek ketika ditemui di Rumah Inap Orang Asli (RIKA), Gua Musang. FOTO Siti Rohana Idris
LIANA Adek ketika ditemui di Rumah Inap Orang Asli (RIKA), Gua Musang. FOTO Siti Rohana Idris

Kebimbangan yang sama disuarakan Noriah Amat, 23, yang risau untuk pulang ke rumahnya di Pos Bihai sebaik melahirkan anak keduanya yang dijangka pada awal Mac depan.

Dia yang terpaksa meninggalkan anak sulung berusia 16 bulan di bawah jagaan kakak dan ibunya di pos berkenaan sering menghubungi mereka bagi mengetahui perkembangan terkini.

"Emak dan kakak yang menanam padi kadangkala terpaksa turun ke sawah dengan perasaan takut tapi demi mendapatkan sumber kewangan, mereka hanya berserah.

"Sudah dua minggu saya ditempatkan di sini dan sering berhubung dengan keluarga menerusi telefon namun sesekali suami akan membawa anak sulung bertemu di sini," katanya.

Terdahulu, mereka dikunjungi badan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Craft Council (MCC) bersama Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang mengagihkan barang makanan dan pakaian untuk 150 penerima.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 5:01 PM